Makam Sultan Siak di Siak Inderaputra
Jam 5.30 petang, 21 Februari, Muzium Siak yang
dahulunya istana Sultan Siak Inderapura telah hampir satu jam ditutup. Namun krew penggambaran Jejak Bahasa dan TV3
masih berada di dalam untuk mengabadikan beberapa barang purba ke dalam media
selulus. Antara barang yang diabaikan termasuklah
manuskrip dan perjanjian lama yang dibuat Sultan Siak dengan Belanda. Juga yang
menjadi tarikan krew ialah sebuah alat muzik lama, satu daripada dua yang masih
ada di dunia.
Di luar muzium, tiga orang gadis menghampiri
pintu masuk. Mereka mahu masuk tetapi dicegah pengawal muzium. Kata seorang gadis, awak nak nengok! dia merayu
supaya membenarkannya masuk tetapi tetap dihalang. Kata pengawal, ada TV3 dari
Malaysia lagi shooting. Gadis itu membahasakan dirinya awak. Dan awak di
Siak bererti saya. Lalu saya teringat akan bahasa orang Negeri Sembilan,
terutama Rembau yang lazimnya membahasakan dirinya awak.
Beberapa minit kemudian, saya mendengar pula
pengawal itu bersembang dengan seorang kawannya yang baru sampai.
Tanya pengawal, malam ini kau buek apo? Kawannya
menjawab, tak ada buek apo do! Duduk yo di rumah. Nak nengok budak-budak itu
baco buku sekolah. Budak-budak bermaksud anak-anaknya. Sekali lagi saya teringatkan dialek orang Negeri
Sembilan. Pernah Profesor Madya Zainal Borhan menjelaskan bahawa dialek
pertuturan orang Siak sama dengan orang di Negeri Sembilan. Malam itu saya
menghubungi Darmawijaya, penyair dan budayawan terbilang di Seremban melalui
telefon. Saya hendakkan kepastian tentang perbilangan
tentang hubungan Siak dengan Negeri Sembilan, terutama Rembau.
Darmawijaya membacakan satu petikan dari sebuah
buku, Raja Mahmud dijadikan Raja di Negeri Sembilan (Rembau) dan menetap di
Penajis dengan gelaran Raja Melewar, setelah mendapat restu dari Sultan Johor
pada kurun ke-17. Maka adalah perbilangan yang berbunyi beraja ke Johor,
bertali ke Siak dan bertuan ke Minangkabau. Pengarang buku negeri yang sembilan, Nurhalim
Ibrahim pula suatu ketika pernah cuba mencari makna perbilangan ini. Nurhalim berpendapat bertali ke Siak itu mungkin
membawa maksud orang-orang di Negeri Sembilan, khususnya Rembau kebanyakannya
mempunyai hubungan keluarga dengan orang Siak.
Perarakan penduduk Siak dalam Festival Siak yang diadakan setiap tahun di Kacamatan Siak
Ada pertalian darah. Kurang pasti apakah DatoĆ¢€™
Lela Balang yang keturunannya menjadi Undang Rembau sejak abad ke-16 lagi
berasal dari Siak atau dari Minangkabau. Dalam pada itu, ada pula suku-suku di
Rembau yang sama namanya dengan suku-suku di Siak, seperti suku tanah datar. Andainya Nurhalim turut berada di Siak dan
mendengar pertuturan penduduknya, adalah diyakini, Nurhalim akan membuat
kesimpulan bahawa sebenarnyalah orang Rembau (Negeri Sembilan) itu sebahagian
besarnya berasal dari Siak. Pengaruh dialek Minang dalam bahasa Melayu Siak
amat ketara, walaupun orang Siak tidak bercakap dalam bahasa Minang.
Lenggok intonasi pertuturan orang Siak amat
berbeza dengan orang Minang tetapi lenggok intonasi orang Rembau hampir sama
dengan lenggok orang Siak.
Amat menarik jika orang Rembau di Negeri
Sembilan mengunjungi Siak serta Inderaputra, apakah perasaannya? Apakah ia
terasa akan wujud keterikatan daripada sudut pertuturan dan pertalian darah
yang kental setelah mendengar orang Siak bercakap atau melihat keadaan alam
sekeliling yang saling tak tumpah dengan di daerahnya sendiri? Di tebing sungai Siak penuh dengan pokok rumbia.
Ada juga pokok mengkuang, kelapa sawit dan getah menjadi tanaman utama.
Sepanjang perjalanan dari Pekan Baru, ibu kota Perupensi Rembau ke Siak Seri
Inderapura yang dilihat ke kiri kanan hanya estet kelapa sawit, getah dan dusun
buah-buahan.
Siak Seri Inderapura suatu ketika dahulu
merupakan sebuah kerajaan besar dan berdaulat. Daerah taklukkannya menjangkau
wilayah yang hari ini terletaknya medan di Sumatera Utara. Menurut sejarah, kerajaan Siak diasaskan oleh
Raja Kecil (Raja Kecik, menurut sebutan orang Siak), yang dikatakan anak sultan
Mahmud Johor yang mangkat dijulang pada tahun 1699. Doktor Nadas Hasrin dari pejabat pelancongan
Siak menjelaskan anak Sultan Mahmud dengan isterinya Cik Pong ini yang masih
bayi ketika dibawa lari ke Sumatera.
Cerita pelarian Raja Kecil itu mempunyai versi.
Menurut versi pertama, setelah sultan mangkat dijulang Bentan ditikam laksamana
Bentan dalam perjalanan ke masjid, Cik Pong dilarikan bersama bayinya ke jambi
lalu ke Sumatera Selatan.
Di sana anaknya itu dibesarkan dan akhirnya
mengasaskan kerajaan Siak. Menurut versi kedua pula, Cik Pong dan anaknya
dibawa lari ke Jambi lalu ke Pagar Ruyong di Sumatera Barat (Minangkabau). Setelah dewasa Raja Kecil perlu membuktikan
dirinya anak raja dengan memanjat pohon jelatang sejenis pokok yang daunnya
jika dipegang atau disentuh membuat orang gatal-gatal.
Raja Kecil memanjat pohon itu dan kemudian turun
tanpa mengalami gatal-gatal di tubuhnya. Dengan ujian ini Raja Pagar Ruyong
mengisytiharkan Raja Kecil sememangnyalah seorang anak raja sebenar-benarnya.
Siak waktu masih di bawah takluk Johor tetapi
hanya pada nama dan diketuai oleh seorang Syahbandar. Maka oleh Raja Kecil Siak dijadikan pusat
kekuasaannya dengan mengasaskan sebuah kerajaan apa yang dipanggil kerajaan
Siak Seri Inderapura. Raja Kecil menjadi raja dengan gelaran Sultan
Abdul Jalil Rahmat Shah dan bertakhta dari tahun 1723 hingga 1745.
Pengacara TV3, Azura Karim (kiri) yang turut serta dalam Festival Siak dengan pek minuman selepas selesai acara festival. Foto A.F.Yassin
Baginda memerangi Johor yang di bawah Sultan
yang bernasabkan Bendahara setelah kemangkatan Sultan Mahmud dikatakan tidak
meninggalkan pangkatnya.
Ahli sejarah berpendapat Sultan Mahmud mangkat
dibunuh tanpa mempunyai anak sebagai ganti. Maka ditabalkan Bendahara sebagai
pengganti raja untuk memerintah Johor dan akhirnya keturunannya menjadi raja
untuk wilayah takluk yang meliputi Johor, Rembau, Pahang dan Lingga. Sultan terakhir di kalangan keturunan bendahara
ini ialah Sultan Ali yang keturunannya telah diusir keluar dari istana Sari
Galam Singapura pada tahun lalu melalui satu enakmen parlimen Singapura.
Apa pun jua, Sultan Abdul Jalil Rahmat Syah
bercita-cita merebut takhta milik ayahandanya Sultan Mahmud mangkat dijulang
dari tangan sultan keturunan bendahara. Beberapa peperangan terjadi dengan
menang dan kalah menjadi adat orang berperang. Pernah Sultan Abdul Jalil Rahmat Syah menguasai
seluruh kerajaan Johor namun akhirnya baginda terpaksa akur dengan keputusan
Johor.
Bagaimanapun, semangat juang Sultan Abd. Jalil
Rahmat ini diteruskan oleh penggantinya yang pada kali ini menentang penjajahan
Belanda pula.
Ada sebelas sultan yang bertakhta di Siak Seri
Inderapura saling silih berganti sejak mangkatnya Sultan Abdul Jalil Rahmat
Shah (Raja Kecil pada tahun 1746).
Mereka terdiri daripada anakanda baginda Sultan
Abdul Jalil Muzaffar Shah (1746-1765), Sultan Abdul Jalil Jallaludin Shah
(1765-1766), Sultan Abdul Jalil Alamaldin Shah (1766-1780), Sultan Muhamad Ali
Abdul Jalil Muazam Shah (1780-1782), Sultan Yahya Abdul Jalil Muzaffar Shah
(1782-1784), Sultan Al-Siddis Sharif Ali Abdul Jalil Saifuldin Balawi
(1784-1810). Baginda merupakan sultan pertama yang berdarah
arab dengan gelaran Syed Sharif. Baginda adalah anakanda kepada Puteri Sultan
Yahya Abdul Jalil Muzaffar Shah, Sultan yang ke-6 memerintah Siak.
Puteri ini berkahwin dengan bangsawan arab
ketika Sultan Abdul Jalil Muzaffar Shah mangkat di Dungun ketika mengunjungi
Terengganu pada tahun 1784, cucu baginda yang berdarah arab ini menjadi
penggantinya. Sultan pertama berdarah arab ini mangkat pada
tahun 1810 dan digantikan oleh puteranya dengan gelaran Sultan Al-Siddis Sharif
Ibrahim Abdul Jalil Halilaldin (1810-1815). Penggantinya Sultan Al-Siddis Sharif Ismail
Jalil Jallaldin (1815-1854). Anakanda baginda naik takhta pada tahun 1854
dengan gelaran Sultan Al-Siddis Sharif Kasim Abdul Jalil. Baginda naik takhta sehingga tahun 1889. Setelah
mangkat, baginda digantikan oleh Sultan Al-Siddis Sharif Hashim Abdul Jalil
Saifuldin (1889-1908).
Anakanda baginda yang bernama Tengku Sulong naik
takhta setelah 7 tahun kemangkatan ayahandanya, Sultan Al-Siddis Sharif Hashim
Abdul Jalil Saifudin, iaitu pada tahun 1915. Baginda merupakan sultan terakhir Siak setelah
baginda menyatakan taat setia kerajaan Siak kepada pemerintah republik
Indonesia dan bersama berjuang menentang Belanda. Pernyataan baginda ini mendapat bantahan keras
dari Belanda. Akhirnya baginda meninggalkan Siak lalu menggabungkan diri dengan
rakyat Indonesia untuk melanjutkan perjuangan di daerah Aceh.
Sebelum meninggalkan Siak, baginda menyerahkan
istananya berserta keseluruh kekayaan Siak kepada pemerintah republik
Indonesia. Setelah Indonesia rasmi merdeka pada 17 Ogos
1945 baginda berangkat ke Jakarta dan tinggal menetap di sana dengan mendapat
pencen dari pemerintah Indonesia. Beberapa tahun kemudian baginda kembali ke Siak
tanah tumpah darahnya dan wafat pada 23 April 1968 dalam usia 76 tahun. Baginda dimakamkan berdekatan dengan Masjid
Shahilbuldin Seri Inderapura dengan penuh istiadat kenegaraan. Baginda
dianugerahkan secara pos umum gelar pahlawan nasional dengan disertai piagam
dan tanda kehormatan bintang Mahaputra. Putera Adekradana oleh presiden
republik Indonesia pada tahun 1998 sebagai mengenang jasanya berjuang menentang
Belanda.
Muzium Siak Seri Inderapura yang terletak
kira-kira 300 meter dari masjid ini adalah lambang kebesaran kesultanan Siak
terutama sultan terakhirnya. Di dalamnya terdapat pelbagai khazanah
peninggalan sultan sejak tahun 1725, walaupun ada di antaranya hanya tiruan daripada
asalnya yang telah disimpan di Muzium Jakarta atau yang telah hilang. Ketika pertemuan dengan Timbalan Setiausaha
daerah Kabupaten Siak, Dr. Zul Arianto, 19 Februari lalu kepada rombongan Jejak
Bahasa diperjelaskan komitmen Siak sebagai sebuah daerah dalam Kesatuan
Republik Indonesia. Penduduk Siak sejak berada dalam republik telah
mengalami pelbagai situasi politik. Suka dan duka silih berganti.(Dipetik daripada artikel "TUTUR KATA ORANG SIAK MIRIP ORANG NOGORI",Oleh A.F.Yassin yang berkunjung ke Siak brsama
Tim Jejak Bahasa, anjuran DBP-TV3 pada tahun 2000.)