Saturday, 24 August 2013

DAK UJANG : MENGINGATI JASA IBU DAN AYAH



 Ghazali Yassin a.k.a. Dak Ujang (kanan) mengalu-ngalukan kedatangan Imam semasa Kembara TIBIES tidak berapa lama dulu.

Pagi tadi Abang Yah ese datang ke rumah kami di Kuala Johol. Ese boghi dio poluang mombaco Sulat Kaba Lama – tobahak-bahak dio togolak. Tak maghah deh doh sobab dalam coghito tu ese amek akaan dio. ’Tak po doh. Bukan namo boto’ keteh heh.
 
 Kito pun coghitolah sikit kisah jaman bujang dulu duduk samo2 di Kampung Balai Panjang, Nuri – termasuklah mengenang kembali kehebatan masakan omak kami dulu. Ghupo2 eh mother’s cooking tak ado tolok banding eh. Bayangkanlah sojak dari kocik kito dihidangkan dengan masakan hasil air tangan ibu kito.

Selepas Abang Yah balik ese mengolamun soghang2, mengimbau semula belaian kasih dan pengorbanan yang arwah ibu bagi kepada kita dahulu. Ibubapa kita terpaksa membanting tulang empat kerat untuk membesarkan kita masa dahulu – zaman yang serba kekurangan sehingga kita menjadi insan yang berjaya.

Mungkin sebagai anak kita tidak dapat merasai betapa seksanya si ibu kita yang terpaksa mengandung selama 9 bulan dan bertarung nyawa ketika melahirkan kita. Ada ibu yang berjaya menghadapi saat-saat getir itu. Ramai juga ibu yang kecundang setelah anak yang dikandung selamat dilahirkan. Ada juga ibu yang menerima ajal bersama kandungannya.

Ada ibu yang terus dibelenggu pelbagai penyakit bertahun-tahun lamanya setelah melahirkan anak. Insan yang dipanggil Ibu itu begitu rapat dengan anak – sejak berada dalam rahim sehinggalah anak itu berupaya hidup berdikari – hubungan antara ibu dan anak ibarat isi dengan kuku. Ibulah yang menyusukan kita. ibulah orang yang membelai dan memberi kasih sayang kepada kita,

Ibulah orangnya yang ketika kita sakit terpaksa bersengkang mata siang dan malam untuk pastikan anaknya dijaga dengan sempurna dan cepat sembuh. Tidak pernah ibu mengeluh dan membiarkan anaknya terlantar sekiranya anaknya sakit. Tidak pernah si ibu berkata ‘tidak’ sekiranya anaknya meminta makanan. Ibu akan menjaga dengan penuh kasih sayang dan sentiasa berdoa kepada Allah semoga anaknya menjadi manusia yang soleh dan berjaya dalam kehidupan.

Si ibu jugalah guru. Ibulah rakan. Ibulah tempat kita mengadu. Ibu penyayang. Ibu pengasih. Ibu penyabar. Ibu penyuluh hidup kita. Ibu tidak pernah bosan melayani pelbagai kerenah dan kenakalan si anak. Itulah antara pengorbanan ibu kita. Dengan pengorbanan yang sebesar itu ada juga anak tidak pernah bersyukur. Ada anak yang mengabaikan ibunya semasa ibunya sudah tua.

Ada anak yang pentingkan diri sendiri sehingga membiarkan ibunya terlantar menderita ketika sakit. Ada anak yang menjadi penagih dadah. Ada anak yang menzalimi ibunya. Ada anak yang menjadi kaki arak, kaki perempuan, kaki judi, penipu, perompak dan melakukan pelbagai maksiat. Ada juga anak yang derhaka kepada ibunya. Ada anak yang sanggup mengatakan bahawa beliau tidak minta dilahirkan di dunia ini. Anguzubillah!

Alhamdullillah! kita sepatutnya bersyukur kepada Allah Subhahahuwataala bahawa kita semua berada dalam kelompok insan yang tahu berterima kasih, berada dalam golongan orang yang bertanggungjawab, bukan sahaja kepada ibu kita, bahkan kepada kaum keluarga, juga masyarakat dan sentiasa memelihara kesucian dan kemuliaan agama kita – iaitu, Islam yang syumul.

Kita juga tidak pernah mengabaikan tanggungjawab kita terhadap Allah Subhanahuwataala. Kita adalah insan yang faham tentang pengorbanan ibu. Kita tidak melupai ibu. Kita sentiasa berdoa semoga ibu kita sihat walafiat, sejahtera, beriman dan mendapat perlindungan daripada Allah swt.

Kepada ibu yang telah meninggal dunia, jangan kita lupa berdoa semoga ibu kita dimasukkan ke syurga firdausi, dipelihara dan diletakkan roh Allahyarham dalam golongan orang yang terpilih. Itulah pengorbanan seorang insan yang kita panggil IBU. Sesungguhnya syurga itu di bawah telapak kaki ibu.

Jasa ayah jangan kita lupakan. Sungguhpun ayah sentiasa tegas dan tidak menunjukkan kasih sayangnya secara zahir seperti ibu, jangan lupa, ayah adalah pemimpin keluarga. Ayah adalah pelindung. Ayah sentiasa di hadapan untuk menjadikan kita anak yang berilmu dan berakhlak, anak yang bertanggungjawab, anak yang mematuhi ajaran agama.

Ayahlah orang yang sentiasa membanting tulang empat kerat untuk mencari rezeki yang halal. Awal pagi sudah keluar rumah, waktu petang baru balik dan ada kalanya berminggu, berbulan-bulan dan ada yang bertahun-tahun keluar mencari rezeki, di sawah, di ladang, di laut, di hutan, di gunung dan di bandar. Ayah sentiasa bekerja keras. Lihatlah kulitnya kering, kesat di bakar matahari.

 

 Dak Ujang (duduk kanan) bersama Cikgu Hamzah (di sebelahnya) dalam satu detik manis ketika kembara  TIBIES ke kediamannya di Kuala Johol.

Renunglah matanya, sentiasa redup - merenung jauh - mengenang untung nasib masa depan anak-anak. Dalam fikirannya penuh dengan kebimbangan. Kadang-kadang terfikir – kalaulah ditakdirkan dia meyahut panggilan Ilahi apakan terjadi kepada isteri dan anak-anak yang masih kecil lagi.

Ada ayah yang terpaksa bekerja siang dan malam, walau pun jasad tidak berdaya menanggung beban yang berat. Ada ayah yang cedera, patah tangan, patah kaki, patah pinggang ketika bekerja. Ada ayah yang maut sewaktu mencari rezeki. Ada ayah yang karam di laut. Ada juga ayah yang hancur tulang berkecai jatuh bangunan. Ada ayah yang menemui maut di jalanraya. Itulah seorang insan yang dipanggil AYAH; yang sentiasa gigih mencari rezeki yang halal untuk ibu, untuk kita, untuk abang, untuk kakak, untuk adik.

Namun kita hairan mengapa di kalangan manusia ramai yang berperangai haiwan. Ada anak yang tidak mengenang jasa dan pengorbanan ayah. Ada anak yang benci kepada ayah. Ada anak yang menaruh perasaan dendam terhadap ayah. Ada anak setelah besar dan berjaya, membiarkan si ayah terlantar sakit dan menghabiskan saki baki hidupnya dalam kesusahan dan penderitaan?

Ada anak yang tidak mengenang budi kepada ayah. Bagi anak, pengorbanan si ayah adalah tanggungjawab ayah. Ada anak yang menganggap ayahnya zalim. Ada anak yang mendakwa ayahnya gagal memberikan kasih sayang dan tidak bertanggungjawab. Ada anak yang menyesali bahawa sebab ayahlah yang menjadikan mereka miskin, sebab ayahlah menjadikan mereka susah, sebab ayahlah menjadikan mereka jahat, sebab ayahlah menjadikan mereka perompak, kaki dadah, kaki judi dan sebagainya. Walau pun, ada ayah yang tidak bertanggungjawab itu urusannya dengan Allah. Tetapi urusan kita kepada ayah perlu kita tunaikan.

Kita sekali lagi bersyukur kepada Allah subhanahuwataala, sebab kita bukan jenis anak yang tidak berperikemanusiaan. Kita bukannya manusia yang bertopengkan haiwan. Kita bukan anak yang menzalimi ayahnya. Kita adalah anak yang sentiasa mengingati pengorbanan ayah. Kitalah anak yang sedar bahawa tanpa ayah kita tidak mungkin melihat bulan dan matahari. Ayah adalah guru, ayah adalah pemimpin kita.

Jangan sekali-kali kita derhaka kepada ayah. Ayah adalah insan yang mulia, kita patut hormati. Kita patut bersyukur dan sentiasa memanjatkan doa kepada Allah subhanahuwataala semoga ayah kita sihat walafiat dan sentiasa mendapat perlindungan daripadaNya. Kepada ayah yang telah meninggal dunia, kita berdoa semoga roh allahyarham dicucuri rahmat dan diletakkan dalam golongan yang soleh dalam syurga firdausi.

Ya Allah, ya Allah, ya Allah, Engkau ampunkanlah dosa ku ya Allah, ampunkanlah dosa kedua ibubapaku ya Allah. Aku berjanji ya Allah, aku akan sentiasa mengenang jasa dan pengorbanan kedua ibubapa ku ya Allah. Engkau letakkan diriku supaya sentiasa berada dalam golongan orang yang beriman, yang bertakwa, yang bertanggungjawab bukan sahaja kepada Engkau ya Allah, malah sentiasa berbuat baik kepada manusia sesama manusia. Amin ya rabulalamin!
Top of Form
·

No comments:

Post a Comment