Tuesday, 5 February 2013

JAMILAH UJANG: ANAK JUASSEH SEKOLAHNYA DI TIBIES


Jamilah Ujang (Datin)

Bapa saya, Sarjan  Mejar Ujang bin Amin anak orang Kampong Juasseh, Kuala Pilah. Emak saya Halimah bt Anjang berasal dari Kelantan. Mereka berjumpa di Kuala Terengganu semasa bapa saya mula berkhidmat sebagai polis biasa dan emak saya pula tinggal di rumah abangnya, seorang Sarjan Polis. Mereka dirunding-rundingkan dan bernikah pada tahun 1940. Mereka tidak mendapat sebarang anak sehinggalah tahun 1946 apabila saya dilahirkan, semasa bapa saya masih berkhidmat di Terengganu. Saya adalah anak tunggal. Emak saya meninggal di Hospital Besar Melaka pada tahun 1989 semasa berumur 67 tahun. Ketika itu saya telah berkahwin dan  suami saya menjadi Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) Melaka.  Bapa saya pula meninggal pada tahun 2007 setelah mencapai usia 87 tahun. 

Saya membesar di berek polis di Terengganu sehingga berumur lapan tahun. Sepanjang saya ingat bapa saya adalah seorang Ketua Balai Polis (OCS) berpangkat Sarjan dan hidup kami selalu sahaja berpindah-randah di tempat yang tidak ada sekolah. Dalam tahun 1953 semasa bapa saya menjadi OCS Balai Polis Air Puteh dalam Daerah Kemaman, Terengganu, dan rumah kami pula bersebelahan dengan Balai Polis, masih segar dalam ingatan saya akan suatu peristiwa yang sangat menyayat hati yang saya tidak akan lupa di sepanjang hayat saya.Tiap kali saya teringatkan peristiwa itu, atau apabila saya bercerita mengenainya, saya akan berasa sebak dan selalunya menitiskan air mata.



 Pada suatu awal pagi semasa kami tiga beranak sedang menikmati sarapan di rumah, tiba-tiba muncul seorang lelaki Melayu dan membisikkan sesuatu kepada bapa saya.Kalau tak silap saya bapa saya dengan cemas menanyakan kenapa lambat sangat?!! Sekarang ini tahulah saya bahwa orang itu adalah seorang “informer”. Saya lihat bapa saya dalam keadaan cemas itu terus bergegas mengenakan pakaian unifomnya. Sambil itu dia menyuruh emak dan saya cepat-cepat bersiap untuk masuk ke dalam kubu bawah tanah di bawah rumah kami.Dari dalam rumah saja kami boleh buka pintu di lantai dan terus terjun ke dalam kubu di bawah.Semua bangunan polis dalam perkarangan balai itu masing-masing ada mempunyai kubu dalam tanah di bawahnya. Sambil bapa saya keluar dari rumah, kami dua beranak pun masuk ke dalam kubu. Dari dalam kubu itu saya boleh melihat apa-apa yang berlaku di luar sebab rumah kami itu jenis yang bertiang rendah dan masih ada ruang untuk menjengah keluar.Pada masa itu keadaan sudah mula menjadi kelam kabut kerana bapa saya telah menjeritkan arahan kepada para anggota polis dan Homeguard yang berada di kawasan balai memberi isyarat bahwa balai polis itu akan diserang.


Kalau tak silap saya loceng gila,( iaitu loceng tembaga besar yang digoncang secara manual untuk dibunyikan) juga sempat dibunyikan. Tetapi malangnya pada anggaran saya, belum pun pihak polis sempat bersedia sepenuhnya, mereka telah diserang dengan senjata api oleh kumpulan pengganas komunis dari atas bukit kebun getah kira-kira 200 ke 300 meter di hadapan balai polis itu.Tembak- menembak yang dahsyat bunyinya berlaku antara kedua belah pihak. Dari dalam kubu itu saya dapat melihat beberapa orang anggota polis yang cedera kena tembakan dan diheret ke tepi oleh rakan-rakan lain dengan darah berlumuran. Episod berbalas tembak itu berlarutan untuk beberapa lama sehingga bantuan sampai dari Kemaman lebih kurang 10-15 batu jauhnya dari Air Puteh.Mereka turut terlibat dalam tembak-menembak itu.

Apabila keadaan telah reda dan pihak pengganas berundur dari bukit itu, saya berasa amat bersyukur ke hadrat Illahi kerana bapa saya terselamat dan balik ke rumah meninjau keaadan kami.Tetapi saya menangis teresak-esak apabila bapa saya memberitahu bahwa Pakcik Homeguard yang selalu memanja-manjakan  saya dulu telah terkoban bersama anak lelakinya yang juga seorang anggota Homeguard. Bapa saya memberitahu bahwa apabila anaknya kena tembakan, Pakcik Homeguard itu telah pergi menghampirinya untuk memberi bantuan. Pada ketika itulah Pakcik Homeguard turut terkena tembakan dan kedua-dua beranak itu menemui ajal mereka di situ juga.

 Saya dapat tahu selanjutnya, bahwa pasukan bantuan yang datang dari Daerah Dungun dan Kuantan telah diserang hendap oleh kumpulan pengganas komunis dan dibom semasa dalam perjalanan ke Air Puteh. Perjalanan mereka telah tergendala dan ada yang turut cedera, walaupun mereka sampai juga ke Air Puteh setelah keadaan reda. Saya tidak ingat berapa orang anggota polis dan Homeguard yang terkorban atau cedera dalam kejadian itu.Apa yang pasti, mereka telah berkhidmat dan terkorban untuk mempertahankan negara. Di pihak pengganas komunis itu tidak ada sebarang kematian kerana mereka berada di atas bukit dan dilindungi oleh pokok-pokok getah. Saya tidak pasti sama ada episod ini terakam atau tidak di dalam sejarah Negara. Yang terkorban itu, malahan semua mereka yang terlibat dalam pertempuran itu tetap terabadi sebagai “the unsung heroes”. Kita sama-sama hadiahkan Al-Fatihah kepada semua mereka itu yang kini telah pergi kembali menemui Penciptanya.

Pada tahun 1954 semasa saya berumur lapan tahun bapa saya ditukarkan ke Ladang Geddes di Negeri Sembilan sebgai OCS Balai Polis Ladang Geddes. Di situ juga tidak ada Sekolah Melayu, melainkan sebuah Sekolah Inggeris untuk anak-anak penduduk ladang dan penduduk sekitarnya. Bapa saya tiada pilihan dan masukkan saya ke sekolah Inggeris itu. Antara para penuntut di situ ada murid-murid Melayu, China, India dan juga Inggeris. Di situlah saya mula menjejakkan kaki ke alam persekolahan.

Di situ juga dikatakan tempat komunis bersarang.Setelah melalui pengalaman pahit di Air Puteh, Terengganu sebelum itu, bapa saya memikirkan strategi bagi mengekalkan keamanan di kawasannya untuk mengelakkan daripada tragedi di Air Puteh itu berulang kembali. Strategi bapa saya ialah mendakati kaum China di kedai-kedai di Ladang Geddes itu, bukan sahaja untuk menjalin perhubungan dan rapport dengan penduduk setempat, tetapi juga untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak polis.Saya kira usaha bapa saya itu sungguh mendalam sehinggakan beliau menjadi sangat fasih berbahasa China. Strategi ini nampak sangat berkesan kerana sepanjang kami berada di Ladang Geddes itu tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Kami di Ladang Geddes  lebih kurang setahun sahaja. Pada tahun berikutnya (1955) kami ditukarkan pula ke Rompin, Negeri Sembilan di mana bapa saya menjadi OCS Rompin. Di Rompin juga tidak ada sekolah Melayu. Yang ada cuma Sekolah Cina. Sekali lagi kami tiada pilihan dan saya dimasukkan ke Sekolah Cina. Bila ada peperiksaan saya dapat nombor satu.

Pada hujung tahun 1955 nenek saya datang dari Kampong Juasseh ke Rompin. Saya ingat kata-katanya, berbunyi lebih kurang…. ”…Jang, apo nak jadi e kek anak kau ni, dah sekolah Cino pulak. Dah lah anak soghang…Taun dopan kau masukan lah dio sekolah Joseh. Bia dio diam somo omak…”Pada awal tahun 1956 saya masuk Darjah Satu di Sekolah Melayu Juasseh setelah berumur hampir 10 tahun. Oleh kerana saya sudah berumur, apabila ada ujian sekolah saya dapat nombor satu juga. Dalam pada itu bapa dan emak saya tiap-tiap minggu berulang alik dari Rompin ke Juasseh menziarahi saya. Kami berasa amat tidak selesa dalam keadaan sebegini sehingga bapa saya memohon bertukar ke tempat yang ada sekolah Melayu.

Kira-kira bulan Mac tahun 1956 bapa saya bertukar menjadi OCS Air Kuning, Negeri Sembilan  dan dapatlah saya masuk ke Sekolah Umum Air Kuning South masih dalam Darjah Satu.Guru Besar pada masa itu adalah orang Rembau, iaitu Allahyarham Cikgu Ambia, bapa kepada Allahyarham Dato’ Ismail Ambia. Apabila saya mendapat keputusan cemerlang di hujung tahun itu saya terus dinaikkan ke Darjah Tiga pada Tahun 1957. Diebabkan saya sudah berumur dan telah melalui banyak pengalaman saya masih dapat nombor satu semasa Darjah Tiga itu, dan sekali lagi saya dilompatkan naik ke Darjah Lima pada tahun berikutnya (1958). Dalam Tahun 1959 semasa dalam Darjah Enam saya menduduki peperiksaan di Sekolah Umum Gemenchih untuk kelayakan masuk ke Form I (Remove) dan saya seorang sahaja yang lulus daripada Sekolah Umum Air Kuning South dalam peperiksaan itu.

Pada tahun 1960 bapa saya ditukarkan ke Gemas, tetapi tidak ada pulak kelas Form I (Remove), maka sayapun terpaksa bersekolah di Tuanku Besar School, Tampin dalam Form I (Remove).Form Teacher saya pada masa itu ialah Mr. Sen. Saya terpaksa berulang alik naik bas dari Gemas ke Tampin selama dua tahun. Pada tahun 1962 bapa saya ditukarkan menjadi OCS Rembau dan saya terus berulang alik pula dari Rembau ke TBS Tampin dengan menaiki bas. Saya bersekolah di TBS sehingga penghujung Tahun 1964 sewaktu dalam Tingkatan Empat. 

TBS Prefects'Board 1962: Kelihatan Head Prefect, S. Parameswaran nombor empat dari kanan di barisan hadapan.Sementara Khalid Rahman nombor limaa dari kiri barisan belakang.

Yang saya masih ingat naik bas bersama dengan saya adalah kawan-kawan seperti Norbaya, Che Om, Napsiah, Faizal Mahmood, Abdul Rahman, Samihah dan yang lain-lain yang saya sudah lupa. Kawan-kawan dalam kelas yang saya tak akan lupa ialah Marzuki Harun yang terkenal dengan kenakalannya. Saya masih ingat juga Rahmah Ali, Sharifah, Azizah Kassim, Allahyarham Ashishah,Nabjeah, Ahmad, Kamariah, Fatimah. Yang lain-lain saya tak ingat nama mereka. Head Boys yang saya ingat ialah Khalid Rahman dan mendiang S. Parameswaran (Param).

 Dara pujaan TIBIES 1964? Baris depan duduk: Dari kiri Azizah Kassim, Jamilah Ujang dan Norbaya Shafie. Jamilah Ujang mungkin boleh kenalkan dara-dara yang berdiri di belakang. 

Khalid Rahman, Head Boy 1963 (kiri) dikunjungi Allahyarham Mohd. Zain Mohd Yassin dan Zahriman Alias di kediaman Khalid di Setiawangsa Hari Raya  yang lalu.

Pada penghujung tahun 1964 bapa saya dinaikkan ke pangkat Sarjan Mejar dan telah ditukarkan ke Daerah Polis Kemaman, Trengganu. Maka baliklah saya bersekolah di Terengganu, iaitu Sekolah Menengah Sultan Ismail Kemaman, Terengganu Tetapi Guru Besar sekolah itu masih orang Negeri Sembilan jugak, iaitu Puan Zaleha Mohd Said dan beliau adalah anak kepada mantan Menteri Besar Negeri Sembilan, iaitu Allahyarham Dr. Mohd Said.

Saya mengenali rapat bakal suami saya semasa saya masih di TBS Tampin dalam Tingkatan Empat.  Komunikasi kami hanyalah melalui surat menyurat dan sekali sekala menerusi telefon. Itu pun saya terpaksa pergi ke Balai Polis Rembau yang berdekatan untuk menuggu panggilan setelah dijanjikan awal-awal lagi. Bakal suami saya pada masa itu adalah seorang Inspektor Percubaan Polis dan beliau menjadi Inspektor Kawasan Parit di Perak di bawah Daerah Polis Batu Gajah. 
Suami JU, Dato' Nordin (kiri) disambut Presiden Alumni TBSST, Zahriman Alias dan Setiausaha Car Lim Aboo di majlis pot luck Kubu Gajh, 3 Fbruari 13 lalu.

Kami berkahwin di Kampong Juasseh pada 12 April 1966 semasa suami saya berkhidmat di Daerah Polis Ipoh. Pada tahun 1967 suami saya diarah berkhidmat sebagai pegawai pinjaman di dalam perkhidmatan Badan Pencegah Rasuah(BPR) yang mula ditubuhkan pada 1hb. Oktober, 1967. Mula-mula kami ditukarkan ke Kota Kinabalu, Sabah selama lebih dari dua tahun. Selepas itu kami telah ditukarkan ke Kuala Terengganu dan seterusnya ke Ibupejabat BPR Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Melaka dan Sarawak.

Semasa di Melaka saya telah mengikuti suami ke London kerana beliau ditempatkan di Commonwealth Secretariat, London. Semasa kami duduk di Melaka juga, iaitu antara tahun 1984 dan 1989 saya terjumpa mendiang Param yang menjadi doktor di Hospital Besar Melaka semasa beliau merawat anak lelaki saya yang sakit. Beliau sangat gembira berjumpa saya dan suami saya dan seterusnya kami menjalin perhubungan yang agak rapat. Malangnya semasa kami masih berada di Melaka, Dr. Param telah meninggal dunia kerana serangan jantung dalam usia yang masih muda.
Nabjeah Aziz (kiri) , satu kelas dengan Jamilah (1964) di TBS. Kelihatan Nabjeah bersama Zakaria Osman (1957) di mjlis pot luck Kubu Gajah 3 Fbruari 13.

Selepas Sarawak suami saya telah ditukarkan balik ke Ibupejabat BPR pada tahun 1990 memegang beberapa jawatan sehinggalah beliau menjadi Timbalan Ketua Pengarah dan bersara pada May 1998. Sejak balik dari Sarawak dalam tahun 1990 hinggalah sekarang kami telah menetap dengan tenangnya di Kuala Lumpur, dikelilingi oleh jiran tetangga yang akrab dari berbilang kaum. Anak-anak kami cuma sebanyak tiga orang sahaja dan masing-masing telahpun berumah tangga dan kini kami dihiburkan oleh sebelas orang cucu.  

11 comments:

  1. Very informative Datin JU. Alhamdulillah, baru sorang kengkawan setia koto menopati janji eh. Timokasih bebanyak Datin. Jomput lah nulih lai. Citolah tontang hidup beneath The Cool England Skies. Tontu ado yang menarik untuk di kongsikan. Tontu ado lawatan ke Holland, France , Italy koh, paling tidak kok ado poi ke Scotland koh

    ReplyDelete
  2. Like · · Follow Post · Share · Yesterday at 4:25am

    Seen by 60
    Zahriman Alias: Terima Kasih kak JU atas pengolahan satu kisah hidup yang penuh dugaan serta cabaran. Pengalaman diserang oleh pihak Komunis yang tak ubah saperti serangan keatas Balai Polis Bukit Kepong sehingga menyebabkan beberapa orang termasuk seorang yang kak JU amat sayangi terkorban pastinya telah meninggalkan kesan yang amat mendalam kepada kak JU. Namun saya rasa amat bertuah dapat mendengar rintihan dan dari seorang orang awam mengenai perbuatan durjana pihak Komunis terhadap negara dan masyarakat kita. Moga2 mereka yang membaca kisah2 kak JU ini terasa dibenak mereka betapa perjuangan kita untuk mengnyahkan musuh dalam negara masih belum berakhir.....Kita lihat sekarang ada pihak2 dalam masayrakat Melayu kita sendiri bukan sahaja seolah2 telah memaafkan terus perbuatan durjana petualang2 negara itu, malah mereka sudi pulak bersekongkol dengan mereka demi mengejar kemenangan . Tidakkah mereka sedar bahawa petualang2 itu masih ada....alive dan kicking...dalam masyarakat kita sekarang, walau mereka telah berubah kulit dan rupa.....matlamat mereka tetap sama iaitu untuk merampas kuasa dari kita.
    Yesterday at 6:41am · Edited · Like · 1

    Zahriman Alias: kak JU, you porasan ko tidak......Datin Rohani yang datang dan samo2 menjamu selero dengon kito di Rumah AFY 3 FEB lopeh, dio tu balu Allahyarham Dato Ismail Ambia. Dio memang pengikut setio TBSST dan pantang dijomput akan hadir......kito amat besyukur dapek ahli macam dio....
    Yesterday at 7:56am · Edited · Like · 1

    Jamilah Ujang: Nnti jwb later tgh tai ci.
    Yesterday at 8:17am via mobile · Like

    Ghazali Yasin: Ese dah baco dah kak JU. Akak ni gupo eh budak pandai dan dapek no.1 yo maso sokolah gondah dulu. Tampi malang eh dio copek bona ditanggam dan monikah (ateh kerelaan sendiri). Semaso Form IV dah pandai nulih sughat cinto dan sanggup nunggu kek balai nak toghimo panggilan tipon dari buah hati eh. Sungguhpun tidak ponah bokojo totapi cagho akak menulih, bocakap dan penampilan dighi nampak sama hebat dgn wanita2 yg berjawatan tinggi dalam perkhidmatan kerajaan atau swasta. Wbp, JU botuah sobab semaso masih perawan dah dikopong awal-awal oleh sang arjuna yg bijak, tampan dan gigih sehingga memegang jawatan koduo tertinggi dalam BPR. Kini Datin Jamilah Ujang - satu-satunya girls (ex-TBS sekitar awal 60an) yg berjambul ketika itu - berada dalam sangkar emas bawah penjagaan rapi Dato' Nordin Ahmad (bekas pelajar TMS Kuala Pilah). Hai berbaloi kau JU ngabihan duit abah kau boli writing pad dan bodoba-doba nunggu panggilan tipon daghi pakwe kau kek Balai Polis maso dulu. Usoho ese yg topakso jua sulat kaba lama dan tolo itek arwah Ochu Sinap tak mondatangkan hasil - saham merudum. Tompi lopeh tu boli saham baghu dan Alhamdulillah stable (sungguhpun tak naik tinggi). Itulah deh hidup kito kan JU. Tahniah kepada Datin Jamilah dan Dato' Nordin!
    Yesterday at 8:33am · Like · 1

    Jamilah Ujang: Timo kasih ese ucapkan kek AF,ZA dan GY sudi memberi komen2 yg begitu memberangsangkan.Takut gak nk nulih kok tak sodap ceghito e. Haghi tu se x sompek jumpo datin rohani. Nantilah ado joki sok dapek jumpo.dio.
    Yesterday at 12:42pm via mobile · Like

    Abu Aman Bachik: Sorilah ese dah goso Datin nulih kek posting lain. Gupo gupo eh bukak Tampang tengoktengok Datin Dah nulih deh pun. Timo kasih lah. Mang soghun maco kisah Datin nyurok lam kubu. dahsyat eh. Tompi Mat Sabu nyanjung MCP yo tu kan. Tak goti di untung boto manusia Matsabu ni kan?
    Yesterday at 1:25pm via mobile · Like · 1

    ReplyDelete
  3. Hattar Othman: Toghujo yo ese maco kisah Datin, solain daghi pongalaman yg ngoghi dan yg soghonok ese toghingat maso ese kocikx dulu sobab ado satu duo tompek yg disobut oleh Datin tu agak tak asing kek ese, cam Air Kuning dan Ladang Geddes. Ese boghasal daghi Kg Tenai Sg Dua, Gemencheh. Ese ingat Air Kuning, sobab Pej Pos oghang kg ese pakai maso tu ialah Pej Pos Air Kuning atau Batang Melaka, nijam Air Kuning dah banyak boghubah. Tahniah Datin, suko ese maco coghito yg ditulih. Hebat pongalaman Datin.
    27 minutes ago · Like

    Jamilah Ujang: Timo kasih AAB dan HO.Ceghito ese tu x sehebat ceghito2 oghang lain tu, lagi x sensasi macam ceghito Bro AAB.Ese tu menyahut galakan menyumbang kisah2 lama untuk pengisian Tampang..Ese haghap dogheh2lah kenkawan kito yg lain tu tulihlah apo2 ceghito dapek kito kongsi bersamo.
    13 minutes ago via mobile · Like

    ReplyDelete
  4. Datin, ghaso ghaso eh dalm gambar yang datin pos kan kek FB tu, ado gambar secret admirer AAB tau. Kok botolah. Ese tetoko yo. Tompi ese memang tak kona. Telepathy agak eh lah. aab.08022013.

    ReplyDelete
  5. Aisssssyeh, boto koh tak do deh admin. Melopeh bebotolah se. Ese nak nengok nabona peminat rahsio se tu. camno goman eh gek eh.

    ReplyDelete
  6. I think AAB and AFY have been led to believe that Faithfuly Yours is your secret admirer. Actually Faithfully Yours is a conman trying to do a finishing job.Faithfully Yours must be waiting for the moment when to strike effectively at both of you, because both of you were snobbish and good for nothing head prefects.

    ReplyDelete
  7. Do not jump to conclusion yet. Until we've had enough proof I would suggest the silent secret admirer did exist, taking into account girls instinct and natural feeling towards school celebrity. We must understand that any girl would like to associate herself to such "glamour". After all who would not want to be called the Head Prefect's companion. The only problem is to identify the person, anonymously named Faithfully Yours or Sympathizer and the others. The most applicable method of finding out the secret admirer is through purging process of the girls at random as per batch. Initially one could study the background of every girl in a photograph given by Jamilah Ujang in her latest posting in Tampang.There are eight girls in the picture. They were supposed to be the fairest of them all during those years. And it seems that they were trying to outdo each other to "mencuri hati" the Head boy.For three consecutive years the head boys were Yusof Basir, Abu Aman Bachik, Parameswaran (being not a Malay, he would not be listd and automatically AFY should become the glamour boy), Khalid Rahman and Yusof Rahman.By using the purgative process of identification we might come to realize who the secret admirer would be. So I wish you luck to solve this secret admirer puzzle. All the girls mentioned by JY in the avove posting should be the main contenders.

    ReplyDelete
  8. Anonymous, how could you say that we were good for nothing head prefects. You are being too much don't you think! Just because we did not care two hoods to our secret admirer you said that we were good for nothing. Well you are subject to your own opinion and judgement. And I AAB thankyou very very much for recognising us such. For i believe that it took agood for nothing to know another is also a good for nothing.

    ReplyDelete
  9. Non-committal. I could not care less as long you remain anonymous.

    ReplyDelete
  10. Hattar Othman: Toghujo yo ese maco kisah Datin, solain daghi pongalaman yg ngoghi dan yg soghonok ese toghingat maso ese kocikx dulu sobab ado satu duo tompek yg disobut oleh Datin tu agak tak asing kek ese, cam Air Kuning dan Ladang Geddes. Ese boghasal daghi Kg Tenai Sg Dua, Gemencheh. Ese ingat Air Kuning, sobab Pej Pos oghang kg ese pakai maso tu ialah Pej Pos Air Kuning atau Batang Melaka, nijam Air Kuning dah banyak boghubah. Tahniah Datin, suko ese maco coghito yg ditulih. Hebat pongalaman Datin.
    February 7 at 10:26pm · Like

    Jamilah Ujang: Timo kasih AAB dan HO.Ceghito ese tu x sehebat ceghito2 oghang lain tu, lagi x sensasi macam ceghito Bro AAB.Ese tu menyahut galakan menyumbang kisah2 lama untuk pengisian Tampang..Ese haghap dogheh2lah kenkawan kito yg lain tu tulihlah apo2 ceghito dapek kito kongsi bersamo.
    February 7 at 10:41pm via mobile · Like

    ReplyDelete