Penerbit Jejak Bahasa DBP-TV3 Zailan Abd. Rahman dan Abd. Rahim Aman (bertopi putih sedang berbincang untuk memulakan penggambaran di ruang kuliah Fakultas Kedokteran, Universitas Hassanuddin, Makasar, pada tahun 2001. Kelihatan mahasiswa sedang disiapkan untuk tujuan penggambaran. Foto oleh A.F.Yassin.
Wartawan dan aktivis budaya Safrullah Sanre mengirimkan kepada saya sebuah bingkisan beberapa tahun lalu tentang cintanya kepada bumi bernama Malaysia dengan umatnya yang majoriti Melayu. Demikian bunyi bingkisannya:
Sejak “Pesta Sastera Perak” tahun 1981 suku abad
kemudian, saya tidak dapat menahan sebak, sekali gus terpegun ketika Auditorium
DBP yang baru menjadi hening menjelang keberangkatan masuk Seri Paduka Baginda
Yang Dipertuan Agong dan Raja Permaisuri Agung ke ruang Majlis Perasmian Menara
DBP. Sewaktu itu, Baginda diiringi Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr. Firdaus
Abdullah.
Dalam Dewan Auditorium di barisan tetamu VIP
saya lihat Sasterawan Negara Arena Wati bersama Dato’ A. Samad Said, . Datuk
Baha Zain, Dato’ Dr. A. Hassan Ahmad, Dato’ Haji Jumaat Mohd. Noor dan Dato’ A.
Aziz Deraman. Hela nafas saya kian perlahan, mengenangkan suku abad yang telah
saya lintasi dan persentuhan intelektual – kepada roh jiwa serumpun. Betapa
besar rasa syukur saya kepada illahi.
Begitu hebat kesetiaan para tokoh ini bersama
ratusan undangan yang lain untuk hadir di majlis yang penuh bersejarah ini.
Saya terkenangkan sosok tokoh-tokoh DBP dan para sasterawan lain yang telah
meninggalkan kita. Melihat kaca mata tebal Pak Arena mengingatkan saya wajah
Allahyarham A. Samad Ahmad yang antara karyanya yang terkenal diterbitkan DBP,
iaitu ‘Sulalatus-salatin’.
Juga wajah Allahyarham Dato’ Usman Awang yang
sering saya temui di pejabat Baha Zain, ketika masih hidupnya, dan rupa-rupanya
kerap kami berjumpa dan sekawasan pula dengan Pak Asraf Wahab dan Umar Junus.
Dalam semarak Jubli Emas itu, saya doakan para arwah, tawa dan gurauan mereka.
Terasa benar keadaan sudah berubah. Kali ini, pada majlis ini golongan penulis
terlalu sedikit yang hadir. Barangkali juga DBP memberi keutamaan kepada
pembesar-pembesar negara berbanding golongan penulis. Hal ini disebabkan oleh
keterbatasan ruang di auditorium indah ini.
Menara DBP nan megah bukan lagi seperti
‘bangunan lama’ kerana zaman yang telah berubah. Sejumlah tokoh Sasterawan
Negara (sembilan semuanya) tidak hadir akibat kesihatan yang tidak mengizinkan,
malah ada yang telah meninggalkan kita. Tetapi penulis generasi terkini tidak
turut meraikan Jubli Emas membikin saya gundah dan sangsi. Adakah mereka
terlalu sibuk, dan beban kerja amat mendera? Hanya mereka sahaja yang boleh
menjawabnya.
Barangkali DBP bukan lagi pusat (centrum)
tunggal para aktivis. Tetapi ramai juga ‘mantan kakitangan DBP’, yang menjadi
kenalan rapat saya seperti M. Noor Azam, Johan Jaaffar, Sutung Umar RS, Ajikik,
Kemala, Suhaimi Hj. Mohamad, A.F.Yassin dll, masih seperti dahulu juga, umpama
30 tahun yang lalu.
Saya berdoa pada Allah s.w.t semoga suku abad ke
hadapan saya masih boleh ikut serta meraikan kebahagiaan DBP sempena perayaan
Jubli Berliannya pula. Saya sedar bahawa lintasan sejarah ini akan dipenuhi
irama dan wajah dinamik. Rasa cinta dan nostalgia pada Mural Dewan Tun Syed
Nasir dan bangunan lama DBP mungkin sahaja menjadi mangsa kemajuan. Hanya
sahaja seandainya Mural dan bangunan lama akan terus kekal menjelma sebagai
satu kerinduan yang abadi. 2007. Safrullah Sanre, Makasar.
No comments:
Post a Comment