Prof. Rahman Shaari, penyair kawakan Malaysia
Semalam, 10 Disember 2012, saya terima missed call dari kawan penyair Prof. A. Rahman Shaari, dari Universiti Malaya. Apabila saya panggilnya kembali, beliau ketawa besar. Katanya, "Sat, nanti saya call balik." Dan beliau terus ketawa. Dan apabila beliau telfon semula, beliau terus ketawa. Katanya, "Tadi aku jumpa kawan kita, Dr. Sulaiman Masri. Kau tahulah dia sekarang. Kami pun cerita fasal kisah lama termasuklah cerita tentang kelentong. Kau faham apa yang aku nak cerita inikan. Sebab dia ada sebut nama kamu dan kami pun ceritalah keika bersama di DBP dulu."
Rahman tak banyak cerita tentang Sulaiman kerana
menurutnya, dia tidak mahu member tahu di mana dia sekarang, cukuplah katanya
dia sekarang ok nampak gayanya. Dan kita hanya boleh ucapkan selamat berjaya
kepadanya kerana dia tetap seperti dahulu dengan karenahnya. Kau faham maksud
aku kan."
Bagi saya Sulaiman Masri tetap seperti yang kami
kenal sejak dahulu' Beliau seorang editor Dewan Masyarakat yang konsisten,
aktif dan adalah lulusan PhD dari Amerika Syarikat. Beliau mengambil alih
jawatan editor majalah flagship DBP itu daripada saya apabila saya meletakkan
jawatan untuk mengambil tugas baru di Penerbit Fajar Bakti pada tahun 1983.
Malam itu saya dan Rahman memberikan komen tentang cerita Sulaiman dan kelentong dalam politik. Bagi saya apa yang diulas Sulaiman itu mungkin ada benarnya dan boleh menjadi asas untuk mewujudkan apa yang saya sebut tentang satu disiplin baru politik yang dinamakan "disiplin politik kelentong." Dan rupa-rupanya Rahman dalam kolumnya di Sinar Harian hari ini (lihat kolumya di bawah ini) bercerita tentang sains politik dan kelentong. Tulisan Rahman ini ada asasnya juga, malah secara tersurat dan tersirat mesejnya amat jelas. Orang politik memang tidak dapat lari daripada melakukan kelentong dalam kerjaya politiknya.
Seperti halnya dalam penciptaan puisi, yang
Rahman memang terkenal dalam bidangnya ini, berjaya atau gagalnya seseorang
untuk menjadi politikus yang berkesan mesti memahami aliran atau fahaman
kelentong ini. Tidak kira sama ada orang dari parti yang memerintah atau pun
dari pihak pembangkang. Saya sangat
setuju dengan apa yang dijelaskan Rahman bahawa "semua reaksi berkaitan
dengan pemahaman tentang sains politik dan sains sosial amat bergantung pada
tafsiran kelentong ini."
Apakah Sulaiman Masri, kawan kita itu menyedari
hakikat ini hanya beliau yang mampu menjawabnya namun saya dan Rahman memang
sederap mengakui bahawa Sulaiman mempunyai pemikiran yang tidak begitu berbeza
dengan apa yang kami fikirkan. Oleh kerana itulah saya mempunyai pandangan
bahawa politik kelentong ini memang
boleh dijadikan satu sub-disiplin, kalau pun tidak disiplin dalam sains
politik. Walaupun menurut Rahman bunyi perkataan "kelentong" itu
agak kasar namun tokoh akademik di
universiti, seperti Rahman dan juga ahli-ahli bahasa di Dewan Bahasa dan
Pustaka boleh mencipta istilah yang lebih "lembut" dan bersifat
akademik yang mampu menggambarkan sub-bidang ini. Prof. Rahman Shaari dan Dr.
Awang Sariyan, Ketua Pengarah DBP, dicadangkan bertemu dan berbincang tentang
kelentong politik ini lebih lanjut.
Tiga anggota sidang pengarang Dewan Masyarakat dari kiri Jajuli Abd. Rahman, Abdul Ahmad dan Dr. Sulaiman Masri.
Dalam kolumnya di Sinar Harian, Selasa, 11 Disember 2012, Rahman Shaari menulis, “Dalam tulisan lepas, saya nyatakan bahawa tidaklah sukar memahami sains politik dan sains sosial yang lain. Saya dapat pelbagai reaksi kerana kata-kata begitu dianggap merendah bidang. Namun, semua itu bergantung pada tafsiran. Sebelum melanjutkan bicara, elok saya sebutkan satu hal dalam bidang saya, iaitu puisi. Saya (antara lain) mengajarkan kaedah penulisan puisi di universiti.
“Sarjana puisi yang bernama Nancy R Comley
mengatakan, “...the rules of poetry have never really been written down.” Belum
ada peraturan bertulis untuk seseorang menghasilkan puisi. Oleh sebab tiada
peraturan bertulis, calon penyair hendaklah membaca puisi sedia ada, bukan
mempelajari peraturan. Puisi sedia ada itu pula amat pelbagai. Jadi, calon
penyair hendaklah berpuisi mengikut cita rasanya sendiri, di samping membaca
puisi orang lain.
“Dalam politik pun begitu.
“Belum ada peraturan bertulis untuk seseorang
menjadi ahli politik yang seragam. Jadi, calon politikus bolehlah membaca
riwayat hidup ahli politik yang berjaya. Namun, peristiwa-peristiwa membawa kejayaan seseorang tidak mungkin sama
dengan pengalaman dilalui calon politikus. Dapat kita simpulkan, ahli politik
dan penyair adalah bermacam-macam.
“Dalam hal tafsiran pun ada pelbagai. Marwilis
Hj Yusuf mentafsirkan politik sebagai medan libas melibas. Dr Mohd Nur Manuty,
tokoh PKR menyatakan politik ialah urusan dunia dan agama. Lama dahulu, Datuk
Jaafar Hassan mengatakan politik tidak lain daripada layanan terhadap orang
ramai. Selain itu kita mendengar tafsiran politik menyebutkan kaedah
bermuafakat untuk kepentingan bersama, urusan pemerintahan, persaingan untuk
dapat kuasa dan banyak lagi.
“Mungkin bosan menghadapi keadaan ini, Dr
Sulaiman Masri, menyebutkan istilah ‘kelentong politik’ bagi menyatakan
sebarang bicara politik yang dianggap bertujuan serong. Drs Ahmad Fadhil
Yassin, pembicara politik yang aktif dalam dekad 1990-an, bersetuju menjadikan
istilah ‘kelentong politik’ sebagai satu disiplin. Ertinya, untuk kelentong
pun, seseorang perlu belajar.
“Agak lama sebelum itu, Prof Dr Suhaimi Aziz
dari Pulau Pinang menyebutkan (kepada saya), bahawa ‘berbohong pun kenalah
profesional’. Kata-kata mereka semua memberikan makna tertentu terhadap istilah
politik.
“Seseorang yang berada dalam gelanggang politik
mengharapkan kejayaan. Mereka selalunya mahu menjadi calon dan menang, lalu
menjadi wakil rakyat. Untuk ke tahap itu, sejumlah mereka yakin bahawa
keikhlasan dan kejujuran akan memberikan kesan positif terhadap kerjaya mereka.
Dalam keadaan ini, kelentong tidak diperlukan. Datuk Seri Abdul Hadi Awang
berpolitik dengan cita-cita berbeza, iaitu untuk menjadi khadam dan nelayan.
“Jarang yang bercita-cita seperti Hadi. Saya
sendiri ada hasilkan puisi - judulnya Cita-Cita yang membawa tema bahawa
menjadi pemandu van sekolah adalah terbaik bagi sesiapa berusia 60 tahun. Ahli
politik yang mahu menjadi pemimpin negara atau negeri, ada yang terpaksa
bergantung pada kebagusan palsu.
“Dalam keadaan beginilah mereka melaksanakan
kegiatan kelentong. Gaya bahasa dan kelancaran pidato, tinggi rendah suara
(intonasi), dan gerak badan yang dramatik, menyebabkan orang ramai terpesona.
Ternyata seni kelentong elok dipelajari oleh calon-calon politikus. Istilah
kelentong memang membawa konotasi negatif, tidak seperti istilah realpolitik
yang ‘merdu’ bunyinya. Kelentong berada di bawah realpolitik. Jika kita
berbicara tentang PTPTN misalnya, ada segi yang betul dan ada sisi yang
dikelentongkan.
“Begitu juga jika bercakap tentang kebebasan
beragama di Malaysia. Perkara baik bagi satu pihak, menjadi buruk kepada pihak
lain bersandarkan upaya kelentong. Adalah baik Dr Sulaiman mengemukakan istilah
kelentong politik, dan Drs Fadzil membuat cadangan agar istilah itu dijadikan
satu disiplin. Sebutan ‘kelentong’ adalah kasar dan berjarak jauh dari dunia
akademik, namun kewujudannya sentiasa terasa, bergema di sekitar kita.
“Kian dekat pilihan raya, kian marak kegiatan
kelentong. Rakyat yang teliti pasti sedar akan kehadiran unsur ini di sekitar
mereka. Sesiapa yang tidak taksub terhadap gaya seseorang pasti akan dapat
mengenali kelentong politik.
“Tiada sesiapa akan melaksanakan kelentong untuk
berbakti, tetapi besar kemungkinan mereka melakukannya kerana persaingan.
(Dipetik daripada kolum A. Rahman Shaari, Sinar Harian, Selasa, 11 Disember
2012).
“www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab
di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini.
Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan
pandangan dan pendirian kami.
Apabila penulis bertemu penulis atau menghubungi penulis, mereka tidak bersembang tentang penulisan tetapi mereka terus bercerita tentang "kelentong" dalam dunia politik. Hilang minat nak menulis, timbul pula minat nak cerita tentang kelentong-mengelentong dalam dunia politik. Bagus kot untuk merehatkan minda dan menjauhkan sementara waktu tentang dunia penulisan. Agaknya inilah yang mereka sembangkan setiap kali bertemu atau membuat panggilan.
ReplyDeleteProf. Rahman Shaari kata orang yang kelentong dalam politik bukan untuk berbakti tetapi kerana persaingan. Saya rasa bukan sangat kerana persaingan tetapi politik nak hidup. Malah bukan saja orang politik mempunyai cita rasa demikian, tetapi orang biasa atau tokoh bukan akademik yang memperalatkan kelentong ini juga berbuat demikian untuk tujuan pribadi masing-masing. Banyak sangat contoh yang boleh dilihat dalam dunia politik orang Melayu, terutama, menggunakan apa sahaja cara kelentong supaya mereka boleh terus hidup. Bak kata orang bijak pandai mengambil kesempatan dalam kesempitan. Hubaya, hubaya orang begini. Mereka adalah lebih merbahaya daripada orang politik itu sendiri. Saya rasa apa yang diperkatakan Rahman Shaari itu mungkin banyak berlaku kepada kawan-kawannya sendiri, yang masih hidup mahupun yang sudah pergi buat selama-lamanya. Menarik juga kalau kita dapat memahami konsep kelentong yang disembangkan beberapa tokoh yang disebut Rahman Shaari itu, terutama Dr. Sulaiman Masri yang khabarnya kini sudah hidup mewah yang menurutnya hasil kelentong dalam politik. Prof. Rahman Shaari gimana? Bagaimana dengan Drs. Ahmad Fadzil Yassin. Dengan Dr. Suhaimi Aziz dan datuk Jaafar Hassan? Dan apakah betul Presiden PAS Dato' Seri Abdul Hadi Awang begitu jujur dalam politiknya sehingga Rahman begitu taksub mengatakan Tok Guru itu bukan jenis tokoh politik yang pandai kelentong. Kadang-kadang saya tersenyum sinis membaca pujian daripada seorang profesor yang juga penyair terkenal tanah air seperti Rahman Shaari.
ReplyDeleteBiar betul, Rahman Shaari. Hang kata Hadi Awang punyai nawaitu politik yang ikhlas, rela jadi nelayan. Jadi apa cerita yang beliau terus mahu jadi presiden sebuah parti politik,hanya dengan undian konsensus. Biasanya kalau betul beliau ikhlas beliau sepatutnya tak dicalonkan menjadi presiden parti tetapi dicalonkan jadi presiden persatuan nelayan tanah air, kalau ada grup yang macam itu. Agaknya, Rahman Shaari ini menulis ikut telunjuk akhbar yang dia jadi sorang kolumnisnya kot? Saya cadangkan Rahman tak usah gunakan konsep kelentong politik tetapi lebih baik gunakan konsep politik cartoon!
ReplyDeleteSaya cadangkan Rahman Shaari buat kajian mendalam tentang politik kelentong ini dan kaitkannya dengan hubungan Malaysia-Indonesia yang sekejap baik sekejap berbengkeng. Tak selesai-selesai. Usahakanlah kajian sdr sehingga masalah ini dapat diselesaikan secara tuntas. Atau sememenngnya hubungan love-hate antara dua negara ini tidak akan dapat diselesaikan selagi ada yang menamakan diri warga Indonesia dan warga Malaysia. Padahal rakyat kedua-dua negara pernah di bawah satu bumbung politik satu masa dahulu. Contohnya hubungan berbaik-baik antara Melaka dengan Majapahit.
ReplyDelete