Wednesday, 18 September 2013

CIKGU HAMZAH OTHMAN: SUKA-DUKA SEORANG PENDIDIK ERA 60'AN





 Cikgu Hamzah Othman ketika menghadiri Kembara TIBIES 
di rumah Ghazali Yasin di Kuala Johol.


 Cikgu Hamzah Othman (baris depan dua dari kanan) dan 
Ghazali Yasin di sebelah kirinya.

WAWANCARA GHAZALI YASIN DENGAN CIKGU HAJI HAMZAH BIN OTHMAN
(Pada 12 Ogos 2013 Ghazali Yasin dan Alias Tijat telah berkunjung ke rumah Cikgu Hamzah Othman di Kampung Ulu Pilah. Di bawah ini diperturunkan perbualan mengenai pengalaman beliau selama 35 tahun dalam profesion perguruan yang terlalu menarik. Rupa-rupanya menjadi seorang guru ini bukanlah mudah tetapi cukup banyak cabaran dan rintangan yang terpaksa beliau hadapi. Sejak tarikh persaraannya pada 10 mei 1994 dahulu Cikgu Hamzah masih meneruskan khidmat baktinya kepada masyarakat. Ikutilah wawancara kami bersama Cikgu Hamzah yang terkenal sebagai seorang guru yang berdisiplin dan digeruni oleh murid sewaktu zaman sekolah di TBS dahulu)  

Apa khabar Cikgu. Nampak sihat dan masih handsome macam dulu jugak lagi?
Hai, Cikgu ini dah tua Zali. Umur dah nak masuk 75 tahun. Tak adalah kuat sangat macam dulu lagi dah. Tetapi Alhamduillah setakat ini sihat dan belum mengidap sebarang penyakit yang serius. Mungkin duduk di kampong ini kurang stress dan sampai sekarang Cikgu masih melakukan senaman sambil menjalani kerja rutin harian - menyiram dan menjaga pokok-pokok di sekeliling rumah ini – keluar jugak peluh. Tengoklah pokok-pokok cabai burung yang Cikgu tanam di bawah tu. Dek banyaknya sampai tak termakan-makan dan dapatlah Cikgu berjual.

Tahun berapa Cikgu berkahwin dengan kakak dan berapa anak Cikgu kesemuanya?
Cikgu berkahwin dengan kakak pada 5 Disember 1961. Cikgu dikurniakan empat orang anak – 1 lelaki dan 3 perempuan dan Cikgu sudah dapat 10 orang cucu.

Berapa lama Cikgu tinggal di rumah kampong ini?
Bila Cikgu bersara wajib umur 55 tahun dalam tahun 1994 dahulu Cikgu balik menetap di rumah ini bersama kakak (nama isteri Cikgu, Puan Hajjah Safiah bte Abu Hassan). Inilah rumah pusaka kakak. Beliau anak yang sulung. Seorang lagi adik perempuannya duduk di Kuala Lumpur. Di kampong ini kakak dipilih sebagai Ibu Soko Suku Paya Kumbuh.

Tentu Cikgu sendiri banyak memegang jawatan sukarela di kampong ini?
Masa mula-mula duduk di kampong ini dulu Cikgu dilantik sebagai Setiausaha JKKK dan tidak lama selepas itu sebagai Pengerusi hinggalah sekarang. Selain itu, Cikgu juga dilantik sebagai Nazir Masjid. Dalam bidang politik pula Cikgu jadi Ketua Cawangan UMNO Kampung Pilah Tengah sejak tahun 2001 sehinggalah dalam pemilihan baru-baru ini Cikgu menarik diri. Sudah terlalu lama pegang jawatan, bagilah peluang kepada orang muda pula. Walaubagaimana pun, ahli-ahli (UMNO Cawangan) memilih Cikgu sebagai Pengerusi Tetap Cawangan. Tak apalah. Sebagai Pengerusi Tetap, Cikgu cuma perlu mempengerusikan mesyuarat agung setahun sekali saja – kecuali jika ada Mesyuarat Agung Luar Biasa.

Boleh Cikgu ceritakan sedikit tentang persekolahan Cikgu dahulu?
Cikgu mula bersekolah di Sekolah Melayu Kampong Ulu Pilah. Lepas itu pada tahun 1950 Cikgu terpilih memasuki Special Malay Class 1 dan II di Sekolah Tuanku Muhammad Kuala Pilah sehinggalah Form 2. Selepas itu Cikgu  terpilih pula memasuki Federation Military College di Port Dickson. Kemudian, maktab itu berpindah ke Sungai Besi dan dikenali sebagai Royal Military College (Maktab Tentera DiRaja). Selama empat tahun Cikgu berada di FMC sehingga Form V.  

Cikgu tentu berminat hendak masuk tentera ketika itu?
Ya memang. Di FMC ada dua cabang. Satu Boys Wing dan satu lagi Cadet Wing. Cikgu sebenarnya bercita-cita nak memasuki Cadet Wing dan amat berminat nak pakai uniform tentera tetapi entah macam mana tidak terpilih memasuki latihan kadet sebab umur Cikgu ketika itu kurang satu bulan setengah nak cukup tujuhbelas tahun setengah. Masa itu mesti genap 17 ½  tahun untuk memasuki   kadet. Nama Cikgu bersama dengan seorang lagi kawan – namanya Haniff Taib, disenaraikan sebagai calon simpanan.
Kebetulan pada tahun 1957, selepas Cikgu mengambil peperiksaan Senior Cambridge, timbul pula bantahan daripada orang awam supaya kemasukan bagi  latihan kadet tentera dibuka juga peluang kepada calon-calon dari sekolah awam, dan bukan dari kalangan murid FMC sahaja. Jadi kerajaan menetapkan kuota 50 peratus dari FMC dan 50 peratus calon dari sekolah awam. Jadi, pemilihan calon-calon dari lepasan FMC untuk memasuki Cadet Wing sudah mengecil. 

Bagaimana pulak Cikgu memilih memasuki profesion perguruan?
Semasa memasuki FMC dulu Cikgu memang bercita-cita hendak menjadi seorang pegawai tentera. Masa itu cukup berminat hendak pakai uniform pegawai tentera. Sememangnya Cikgu tak berniat langsung untuk nak jadi guru pada ketika itu.
Selepas tamat Form V, Cikgu balik kampong. Pada satu hari ada satu orang yang orang kampong panggil Ujang, ajak cikgu pergi motong getah.  Pada petang itu tiba-tiba Cikgu terima surat permohonan untuk jadi guru sementara. Ada dua sekolah yang bagi  peluang untuk jadi guru sementara pada masa itu, iaitu  Sekolah Kebangsaan Nuri dan Tuanku Munawir Primary School Kuala Pilah. Jadi, Cikgu pilih mengajar di Sekolah Tuanku Munawir. Masa itu Guru Besarnya Tengku Syed Jong. Cikgu ditugaskan mengajar Standard 4,5 and 6. Salah satu kelas yang Cikgu mengajar itu  termasuklah (Dato) Hassan Malek. Sekarang ini dia dah jadi Menteri. Cikgu ditugaskan mengajar Bahasa Melayu, Matematik dan subjek-subjek lain jugalah.

Oh, itulah puncanya Cikgu berminat memilih kerjaya sebagai guru?
Belum lagi. Tiba-tiba cikgu dapat tahu yang ada beberapa budak TMS pergi interview kadet. Kalau tak silap antaranya, Wong Kok Wee. Dia berjaya dipilih dan sampai pangkat Major. Seorang lagi yang dapat ialah Yusof Jadit. Dia dah arwah sebab jatuh terhempas nahas kapal terbang dalam perjalanan untuk mengikuti latihan tentera di Puna, India. Seorang lagi yang pergi interview bersama Cikgu ialah Hashim Wahab. Dia juga dapat dan bersara sebagai Lt. Kolonel. Seminggu lepas itu, Cikgu jumpa dengan Haniff, calon reserve bersama Cikgu. Sah kami tidak dipanggil temuduga. Mungkin surat tak sampai. Jadi melepaslah! Selepas itu, Cikgu mohon beberapa kerja. Antaranya, Inspektor Polis, Cadet Planter. Cikgu jugak mohon rekrut untuk join TUDM. Cikgu pergi interview - dapat. Antara beberapa orang yang dapat ketika itu termasuk Ahmat Manat (arwah) dan Nordin Jaalam. Kalau masuk Cikgu kena mula sebagai private TUDM. Tiga kali diberi peluang untuk lapor diri tapi cikgu tidak apekan doh!.

Bagaimana pulak Cikgu terpilih mengikuti latihan di Maktab Perguruan?
Cikgu isi borang dan mohon. Masa temuduga di Seremban Cikgu ditanya mengapa Cikgu mohon jadi guru sedangkan asal dari sekolah tentera. Puas jugak Cikgu menjawabnya. Cikgu katakan yang Cikgu bercita-cita untuk memasuki  teacher training di kolej Brinsford Lodge, England. Ada peluang pergi ke luar negeri – maknanya, sambil belajar dapat juga menengok negeri orang. Masa temuduga itu mungkin dia tengok keputusan Bahasa Melayu Cikgu handal. Secara kebetulan pada ketika itu Kementerian Pelajaran hendak mencari calon yang bagus dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris untuk mengajar Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua. Masa tu Bahasa Melayu pun ada sebagai subjek khas untuk murid-murid Melayu manakala Bahasa Kebangsaan untuk murid-murid bukan Melayu. Cikgu terpilih untuk mengikuti latihan di sebuah maktab perguruan baru yang sedang dibina ketika itu -  Language Institute (LI) di Lembah Pantai, Kuala Lumpur. Dari Negeri Sembilan tujuh orang berjaya dipilih ke LI. Salah seorang ialah (Dato’) Ismail Yassin yang pernah mengajar di TBS suatu ketika dahulu sebelum dia melanjutkan pelajaran ke England dalam bidang undang-undang. Yang lain, Hamzah Hadi, Noriah Isa, Zaleha Sulan, Aminah Basir dan Maamor Abdul Rashid. Yang ketujuh Cikgulah. Jadi tujuh orang kami mengikuti latihan perguruan di LI selama dua tahun iaitu 1959-60.

Bagaimana skop kursus latihan perguruan di LI ketika itu?
Cikgu dipilih untuk mengikuti latihan kursus A selama 2 tahun. Kursus A ini adalah terdiri daripada calon-calon yang dipilih direct dari Form V. Kursus B pula dipilih dari kalangan guru-guru yang sudah terlatih, contohnya dari SITC, DTC dan normal trained teachers. Manakala Kursus C terdiri daripada guru-guru kelulusan Senior Middle 3 dari Sekolah Cina.
Skop latihan ialah khusus untuk mengajar bahasa kedua samada Bahasa Kebangsaan atau Bahasa Inggeris.  Masa dulu Bahasa Kebangsaan itu diajar kepada murid-murid Bukan Melayu. Murid Melayu mengikuti subjek Bahasa Melayu. Kalau dihantar mengajar di aliran Melayu guru LI kena mengajar Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua. Disebaliknya jika dihantar ke sekolah Inggeris kena mengajar Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa kedua.

Tahun Berapa Cikgu mula mengajar di TBS?
Cikgu melapor diri di TBS pada 3 Januari 1961. Ketika itu Cikgu ditugaskan mengajar Remove class, Form 3 dan Form 4.  Mengajar rampaian, karangan dll. Ketika Cikgu mengajar masa itu Cikgu diekori oleh Inspektorat. Namanya Puan Maznah Putih. Disamping observe cara Cikgu mengajar dia juga check buku latihan murid. Pada masa tu mana ada masa nak check buku latihan up-to-date. Cikgu masih ingat lagi Puan Maznah semak 5 buah buku latihan secara random dan dia dapati daripada lima buah buku itu Cikgu periksa 3 dan 2 lagi tidak sempat diperiksa. Alamak, bila ditanya Cikgu dengan spontan menjawab bahawa kelas yang Cikgu ajar itu dibahagi kepada tiga kumpulan: Setiap kumpulan terbahagi 10 orang yang baik. Satu lagi kumpulan terdiri dari kalangan average dan satu lagi adalah kumpulan lemah. Ketika itu Cikgu tumpukan kepada kumpulan yang lemah. Dengan jawapan itu Cikgu selamatlah! Seminggu lepas itu Cikgu dapat surat laporan yang dihantar oleh pihak Inspektorat kepada Guru Besar, Mr. S.K.P Sivam yang memberi komen pujian - ‘Congratulations!’. Jadi, dengan laporan yang memberansangkan itu maka Cikgu bertambah bersemangatlah untuk mengajar. Masa Cikgu baru mengajar dulu, (Cikgu) Abu Aman Bachik dilantik menjadi Guru Sementara mengajar Bahasa Kebangsaan. Dia disuruh oleh Mr. Sivam untuk duduk di belakang memerhati cara-cara Cikgu mengajar. Kalau tak silap, selama seminggu.

Apakah perkara yang melucukan Cikgu semasa mengajar dulu?
Semasa Cikgu mengajar Tingkatan 3 ada satu ketika Cikgu mengajar bab nahu – kalau tak salah - cara membentuk ayat yang betul. Bila cikgu tanya soalan pada  seorang budak India, namanya Sakaran. Jawaban yang diberinya itu sungguh  melucukan. Soalan Cikgu ‘Tolong belikan saya sekeping roti di Kantin, Sakaran?’ Dia menjawab ‘Cikgu, saya tidak ada duit!’. Masa itu Cikgu dan semua budak dalam kelas tu terbahak-bahak ketawa.




Jalan masuk ke Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Besar Tampin pada hari ini.
 
Bagaimana Cikgu melihat disiplin isu pelajar tahun 60an dulu berbanding masa sekarang?
Dari segi disiplin, tahun 60an tak ada masaalah. Murid-murid cukup mesra. Tapi masuk tahun 70an, kes disiplin murid sekolah mula mencabar. Masa Cikgu mula join TBS dulu disiplin teacher was Mr. Goh Swee Lum. Lepas itu Mr. Gurunathan. Cikgu dilantik jadi Guru Disiplin pada tahun 70an. Ketika itu kes disiplin cukup mencabar. Macam-macam kerenah disiplin di kalangan murid yang Cikgu terpaksa tangani. Ada budak yang bermasaalah dari sekolah Chung Hwa  dipindahkan ke TBS. Satu hari Cikgu terserempak yang dia melonsor railing dan tak ikut tangga untuk pergi ke kantin. Bila Cikgu ternampak Cikgu suruh dia ‘You go up and use the steps’. Dia menunjukkan keangkuhannya. Pada masa yang sama Cikgu dapati rambutnya panjang dan Cikgu tegur ‘Your hair is too long for school  pupil. I give you 3 days to cut your hair – according to school regulations’. Cikgu minta dia pergi ke bilik HM dan Cikgu Malek Ahmad yang jadi Pengetua ketika itu. Dia terima hadiah 2 rotan. Selepas itu ibunya buat laporan polis dan nama Cikgu sudah terpampang di Balai Polis Tampin. Panjang cerita eh. Hendak pendekkan cerita kes itu sampai ke Mahkamah. Tapi tak ada apa-apa, Alhamdulillah, Cikgu selamat. Itulah cabaran yang paling berat yang Cikgu alami sepanjang kerjaya Cikgu menjadi guru. Banyak lagi cerita kenakalan murid sekolah ini Zali. Alias tahulah sebab dia pun bekas guru dan pernah jadi Pengetua sekolah. Ada satu ketika dulu lepas satu kes disiplin kereta Cikgu, jenis Wolkswagen 1500 cc, nombor plet NB3710 diguris.  Kereta Arwah Cikgu (Dato’) Azahari Hamzah juga ada kena guris.

Dengar cerita Cikgu pun ada dilantik sebagai Guru Disiplin Asrama?
Betul. Di Asrama TBS pun teruk juga ceritanya. Cikgu buang 15 murid hostel  sekitar tahun 70s pasal merokok dan minum beer, curi pisang setandan di kawasan sebelah hostel dalam bulan puasa.  Maso tu kalau tak silap Cikgu (Dato’) Raihan Sharif jadi Hostel Captain. Cikgu terbaca berita dalam surat khabar baru baru ini yang dia sudah dilantik Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Pertanian.  Alhamdulillah, Cikgu bangga anak murid Cikgu menjawat jawatan tinggi dalam perkhidmatan kerajaan. Maso kejadian itu, Cikgu masuk ke bilik dia  dan semua kena rotanlah, termasuk budak yang dapat banyak kemudahan dari Yayasan Sabah yang berpeluang belajar di TBS dan tinggal di hostel. Pernah Cikgu cabar seorang budak yang sangat biadap ketika itu. Namo tak payah sebutlah. Cikgu ajak dia bertumbuk ‘You are bad manners. Tak tau berterima kasih pun. ‘You think you are too big. You want to fight? If I am strong you go down, if I am down you go up’. Masa itu Cikgu terlampau marah sangat. Budak itu memang melampau jahat. Esok paginya Cikgu beritahu HM Mr. Ratnasingam. HM nak rotan dia cabut lari dan tidak dapat dikesan. Lepas itu HM telefon students affairs dari Sabah dan dia datang ke Sekolah. Cikgu kena buat laporan. Check buku kedatangan dari 76 hari tidak sampai sebulan pun masuk kelas. Panjang lagi ceritanya Zali. (Cikgu Hamzah geleng kepalo!). Kalau Cikgu tak suka buat kerja lebih, kalau tak mahu ambil risiko – senang saja – biarkan. Tetapi sebagai guru yang menjaga disiplin murid kita menjalankan amanah dan tanggungjawab sekolah, ibubapa  dan masyarakat. Malangnya, ada juga segelintir ibubapa yang tidak mahu mengambil tahu apa yang anak mereka buat di sekolah.

Sekarang ini boleh dikatakan semua sekolah mengahadapi masaalah disiplin murid yang amat serious. Bagaimana perkara macam ini bulih berlaku sehingga amat sukar dibendung Cikgu?
Disiplin sekolah sekarang ini sangat merosot – isunya cukup kompleks. Sekarang ini ibubapa mendidik anak tidak lagi gunapakai panduan orang tua-tua dulu. Pepatah atau perbilangan orang dulu ‘Beranak seorang mengajar ramai.’  Guru bertindak dengan ikhlas dengan tujuan hendak membentuk sahsiah murid. Apabila balik mengadu di rumah, penjaga tidak fikir panjang, tidak usul periksa, terus meluru ke sekolah - confront guru, menempek dekat Guru Besar. Kawalan anak dan didikan moral sepatutnya bermula dari rumah.  Murid-murid menghabiskan banyak masa di rumah dari di sekolah. Jadi peranan ibubapa sangat penting.  Masa ini sudah berubah. Di sekolah kebanyakan budak-budak ikut perturan tetapi di luar sekolah bebas melakukan perkara-peraka seperti merokok, merempit dan sebagainya.  Ibubapa, terutama jika kedua-duanya  bekerja mereka tidak ada masa hendak memerhati atau memantau pergerakan anak-anak mereka. Ibubapa mesti jadikan dirinya sebagai contoh yang baik kepada anak-anak. Kalau suasana di rumah baik. Adab, budi bahasa dan tertib anak baik maka apabila sampai di sekolah ia amat memudahkan guru untuk teruskan kawalan.  Tetapi jika di rumah sudah bermasaalah, ibubapa, abang, kakak dan keluarga pun tidak boleh kawal, macam mana nak harapkan kepada guru untuk mengawal atau mendisiplinkan mereka?  Disebaliknya, masyarakat sudah tidak mahu ambil peduli lagi. Tidak adil jika guru atau sekolah dipersalahkan bila disiplin murid merosot. Mesti ada permuafakatan antara ibubapa, sekolah, masyarakat dan pihak berkuasa. Itu teori. Hendak menangani isu dan masaalah disiplin murid sekolah ini tidak mudah.

Tidak bolehkah cara dulu digunapakai untuk menangani masalah disiplin murid sekarang ini, Cikgu?
 Cikgu tidak nampaklah cara yang efektif, cara lama dulu, boleh digunapakai masa sekarang ini. Problematic students, kita sudah tidak boleh bertindak secara rational lagi. Sudah tidak ada persepaduan – adab dan tertib masyarakat – tak ada perasaan serba salah.  Semasa Cikgu di FMC dulu, kami bercampur gaul dalam kelas, di atas padang, dalam asrama, tidak ada perbezaan ras. Tidak ada masaalah disiplin yang melampau pun.

Boleh Cikgu beritahu pengalaman Cikgu mengajar di TBS dan kenaikan pangkat selepas itu?
Cikgu mengajar selamat 17 tahun. Di TBS, 16 tahun – dari tahun 1961 hingga 1976. Selepas itu Cikgu dilantik menjadi Guru besar di Sekolah Rendah Palong 2. Cikgulah jadi peneroka sekolah tersebut. Disitu Cikgu berkhidmat setahun setengah. Kemudian Cikgu dipindahkan ke Kementerian Pendidikan sebagai Pembantu Penolong Pengarah (Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Pendidikan – in short EPRD) dan juga berpengalaman bertugas di beberapa unit di bawah Kementerian Pendidikan.

Panjang kita bersembang hari ini, Cikgu. Terlalu banyak pengalaman Cikgu. Ada yang manis dan ada yang pahit. Kami ucapkan berbanyak terima kasih kepada jasa Cikgu yang mengajar dan mendidik kami dahulu. Sebelum kami balik kami nak tanya Cikgu adakah Cikgu menyesal memilih menjadi seorang pendidik?
 Cikgu tak menyesal langsung. Seikhlas hati Cikgu bersyukur walaupun tidak dapat masuk jadi askar beruniform. Bila Cikgu pandang ke belakang, Cikgu sangat berpuashati  dapat jadi guru.  Di mana sahaja pergi ada murid yang panggil ‘Cikgu’.  Jasa Cikgu pun dapat penghargaan. Semasa di sekolah dulu Cikgu dianugerahkan pingat PIB dalam pengakap dan juga sebagai Bendahari Pengakap Negeri. Masa itu arwah Cikgu Abu Hasan Ujang yang pernah mengajar Bahasa Melayu di Sekolah TBS era 60-70an dulu jadi Scout Commissioner peringkat Negeri Sembilan. Semasa di Kementerian dahulu Cikgu dapat Pingat Perkhidmatan Cemerlang. Cikgu juga dianugerahkan di peringkat Negeri Sembilan pingat PPN,  AMN serta PMC Pingat Cemerlang Masyarakat (PMC). Terima kasih Ghazali dan Alias. Tolong sampaikan salam Cikgu kepada alumni Grup TBSST ini.

2 comments:

  1. Yang ese ingat somaso Cikgu Hamzah ngajar ese pado tahun 1961 dan 1962 (maso itu ese Form IV dan Form V) ialah dah kughang ese donga frasa-frasa yang sering buek kito kotawo dalam kolas iaitu "Bangun mombuat" dan "Bangun Kena buat". Ado yang tokikih-kikih kotawo di bolakang kolas, maklum jiwo mudo romajo. Satu laie yang ese tak dapek lupoan ialah bilo Cikgu Hamzah bosama Mr. Chandram jadi guru Rugby Team 2nd Eleven TBS. Maso tu Captain Rugby Teaam 2nd Eleven ialah Param (Paremeswaran) dan ese sebagi vice-Captain. Ponah bolawan dongan Team KGV di Tampin Town Padang (sekarang dah jadi pusat beli-belah. Dalam polawanan itu team TBS kalah tipis. Tamat sokolah lamo ese tak jumpo Cikgu Hamzah hinggolah pado suatu waktu ese tosoghompak Cikgu Hamzah dalam lif kek Bangunan Examination Syndicate di Jalan Duta. Kobotulan ghumah Cikgu Hamzah ghaso eh kek Taman Sikamat, Kajang berdekatan dongan ghumah ese di situ. Akhir eh jumpo balik kek ghumah Ghazali Yasin di Johol di majlis Kembara TIBIES sulong kito tempoh haghi. Osah eh dunio ini kocik yo.

    ReplyDelete
  2. Ese nak ngucap an ribuan timokasehkek Cikgu Hamzah Othman yang telah menjadi ikutan saya buat pertama kali untuk menjadi Cikgu, dan timokase jugo kerana beliau telah menjadi penjamin saya untuk jadi guru, sebelum ke Brinsford Lodge 50 tahun yang lampau. Timokaseh bebanyak CikGu. Jasa mu tetap di kenang hingga ke akhir usia. Assalamialaikum.

    ReplyDelete