Sunday 13 October 2013

SUATU KETIKA DI TBS: SEKILAS KITA BERKENLAN DENGAN PENYUMBANG ARTIKEL.




Mohamed Salleh bin Johari  (TBS 1966), DBS (UiTM) BA (Hons) (USM) & MA (Univ. of Essex).   Berkhidmat sampai bersara dengan Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai Pegawai Bahasa.Terlibat dalam kerja-kerja pembentukan istilah bahasa Melayu dan kerja-kerja penerbitan buku-buku istilah. Terlibat juga dengan kerja-kerja penyusunan kamus-kamus: Kamus dwibahasa, Kamus Dewan, Kamus Kebalikan. Kegiatan kini: berminat membuat kajian tentang bahasa Melayu, adat Perpatih dan budaya orang Negeri Sembilan.
Ahli Pengakap sekolah dan aktif dalam aktiviti pasukan tersebut.

 Abu Aman Bachik (Ketua Murid TBS 1961) menamatkan Senior Cambridge dengan memperolehi Gred I. Beliau menjadi  Guru Sementara di TBS pada tahun 1962 sebelum mengikuti latihan perguruan selama dua tahun (1963-64) di Brinsford Lodge, England.
Sekembali ke tanahair ditugaskan di Sekolah Menengah Datuk  Undang Abdul Manap Johol. Kemudian ditugaskan di Sekolah Menengah Tunku Besar Tampin. Pernah juga mengajar di Sekolah Menengah Vokesyenal Tuanku Jaafar,  Seremban dan Sekolah Menengah Vokesyenal Alor Gajah. Antara 1972-77 mengikuti Pengajian Luar Kampus di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang  dan berjaya memperolehi ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dari Universiti Sains Malaysia pada 1978. Seorang guru yang begitu dedikasi. Terpaksa menolak beberapa tawaran kenaikan pangkat kerana memberi tumpuan kepada seorang anak istimewanya yang sentiasa perlukan perhatian dan bantuan ibubapa setiap masa dari usia lapan bulan. Bacalah kisah  menyayat hati dalam artikel ‘An Ordeal of Raising a Special Child’ karya Abu Aman dalam buku ini.

 Awaluddin Abdul Rahman (TBS 1972) memulakan kerjayanya di Jabatan Undang-Undang dan Kesetiausahaan, di MIDF Bhd. Mempunyai latarbelakang Pentadbiran Perniagaan dari UK dan dianugerahkan keahlian Gred Professional sebagai Fellow, Institute of Business Administration, United Kingdom. Mempunyai pengalaman luas dalam dunia korporat. Antara beberapa jawatan penting yang pernah dipegang adalah Pengarah Urusan merangkap CEO, Pengarah Pengajian merangkap Fasilitator, pernah dilantik sebagai Penyelaras Program merangkap Perunding dan Penceramah, Perunding Utama merangkap Pensyarah dibeberapa buah syarikat. Di arena antarabangsa,  pernah bertugas di Bangkok sebagai Pengarah Antarabangsa, Pentadbir Perniagaan merangkap Setiausaha Syarikat di sebuah syarikat di London, dan juga sebagai Penasihat Kursus di sebuah kolej swasta di Luton, England. Perunding Editor pada dua majalah perniagaan, bernama ‘USAHAWAN’ dan ‘URUSNIAGA’. Berpengalaman membuat projek presentation di Bali, Buenos Aires, Istanbul, Hong Kong dan pernah menyampai kertaskerja dan pengurusan projek antarabangsa di Amsterdam, Copenhagen, Istanbul, Guangshou, Calgary dan Singapore. Di Kuala Lumpur pula mengurus projek untuk principal berpusat di Paris, Istanbul dan New York. Beliau merupakan penceramah di dalam program yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia bertajuk: Undang-undang dan Amalan Mesyuarat Syrarikat dan Lembaga Pengarah, Peranan Dan Tanggungjawab Pengarah Syarikat, Kesalahan-kesalahan lazim dilakukan oleh Pengarah-pengarah Syarikat dibawah Akta Syarikat 1965 dan Pentingnya Tadbir Urus Korporat diseluruh Malaysia. Beliau juga pernah berceramah topik yang sama di Tokyo dan Osaka dan juga dipilih berceramah tajuk Tadbir Urus Korporat yang dihadiri oleh peserta dari Timur Tengah, Asia Pasifik dan Asia diKuala Lumpur. Program Eksekutif Diploma dalam Kesetiausahaan Syarikat dan Pengurusan yang di design dan dibangunkan oleh beliau sendiri diterima pakai oleh sebuah IPTA. Kini beliau sedang menyiapkan sebuah buku bertajuk ‘The Importance of Corporate Governance’.

 Zahriman Alias (TBS 1966), seorang pesara Pegawai Polis yang pernah berkhidmat dalam Polis DiRaja Malaysia selama 31 tahun di dalam berbagai cawangan, termasuk Cawangan Khas, Latihan, Jenayah Berat dan Pengurusan. Jawatan terakhir beliau ialah sebagai Ketua Polis Daerah Hulu Perak, sebelum bersara atas pilihan sendiri pada tahun 2000 bagi mengejar cita-cita semula jadinya untuk menjadi petani.  Sekarang beliau menetap dalam sebuah desa di Kuala Selangor dan boleh dianggap sebagai usahawan tani paling berjaya di kalangan bekas pegawai polis.

Ahmad Fadzil Yassin (Penolong Ketua Murid TBS 1961) mula berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka  tahun 1972 sebagai Penolong Editor. Sebelum itu pernah menjadi guru sementara di beberapa buah sekolah dan mempunyai pengalaman bekerja sebagai sebagai penyelia di sebuah kilang milik syarikat Jepun di Tampoi, Johor.Pada tahun 1976 mendapat tawaran melanjutkan pengajian dalam bidang Komunikasi Massa di Universiti Padjadjaran Bandung dan tamat pengajian pada tahun 1980 dengan meraih gelaran Doktorandus (Drs.).  Sekembali ke tanahair beliau bertugas kembali di DBP sebagai pegawai penyelidik merangkap editor jurnal “Dewan Masyarakat”, yang diletakkan dibawah tanggungjawab beliau.Pada tahun 1983, meninggalkan DBP untuk menyertai Penerbit Fajar Bakti sebagai Pengurus Editorial bertanggungjawab dalam penerbitan bahagian Bahasa Melayu.  Pada 1988 dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Editorial dalam organisasi yang sama.Dengan pengalaman yang luas sebagai penulis dan terlibat dalam bidang penerbitan, Ahmad Fadzil menubuhkan syarikat penerbitan sendiri, ‘AFY Communications’, pada tahun 2000. Antara 2005- 2007 dilantik sebagai Felo Undangan (Guest Fellow) di Universiti Kebangsaan Malaysia Publication Department.Dalam kalngan dunia persuratan beiau lebih dikenali dengan nama Penanya: A.F.Yassin.

Jamilah Ujang, Datin, pernah bersekolah di TBS dari tahun 1960 hingga 1963. Pada tahun berikutnya beliau, yang merupakan seorang anak polis, mengikuti ayahnya berpindah ke Terangganu dan meneruskan pengajian di Sekolah Menengah Sultan Ismail, Kemaman sehingga tamat Senior Cambridge pada tahun 1965.Berkahwin dengan (Dato’) Mohd. Noordin bin Ahmad pada tahun 1966 yang ketika itu menjawat jawatan Inspektor Polis. Datin Jamilah memainkan peranan yang besar membantu suaminya berjaya dalam bidang kerjaya sehingga berjaya menjawat jawatan Timbalan Ketua Pengarah, Badan Pencegah Rasuah (BPR).  Begitu aktif dalam berpersatuan amal yang digerakkan oleh isteri-isteri pegawai kakitangan BPR. Suaminya bersara pada tahun 1998. Sejak duapuluh tahun yang lalu Datin Jamilah Ujang giat melatih secara sukarela senaman ‘Tai Chi’ kepada 50 orang ahli di taman perumahan Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.  Beliau merupakan satu-satunya instruktor Tai Chi wanita Melayu di negara ini.   

Ghazali Yasin (TBS 1966), mula bertugas di Universiti Sains Malaysia (USM) pada 1970 sebagai Jurutaip dan jawatan terakhir beliau ialah Computer Programmer di Pusat Komputer (1994). Semasa berkhidmat di USM pernah dipilih menjadi Presiden, Kesatuan Kakitangan Am USM selama dua penggal (1986-1992); Naib-Pengerusi Tabung Kebajikan Anak Yatim Rahim Darus (1986-1992); Penasihat Perkumpulan Mahasiswa Anak-Anak Negeri Sembilan di USM (PEMANIS) (1986-1992); Naib Pengerusi Badan Kebajikan Kakitangan Jabatan Pendaftar (1989-90); Presiden Kelab Kakitangan Pusat Komputer (1991-1994).Memilih bersara secara pilihan pada 1995 untuk berkecimpung dalam Badan Bukan Kerajaan (NGO). Antara beberapa jawatan penting yang disandang  adalah Pengarah Eksekutif di International Movement for a Just World (JUST), Petaling Jaya dan Pengarah, Future Global Network Foundation (FGN)  (2006-2011) - sebuah NGO di Kuala Lumpur yang bergabung dengan Union of NGOs of the Islamic World (UNIW), berpusat di Istanbul, Turkey.Pernah dilantik Ketua Urusetia dalam pengendalian beberapa persidangan antarabangsa, antaranya Rethinking Human Rights (1994); Dialogue on Alternative Politics in Asia (1996); International Workshop on Politics and Governance in Asia (anjuran JUST bersama UNDP, New York (1997)); Consultation on Kosova (1998); International Roundtable Conference on Globalisation (2002); Young Leaders Programme (2002 & 2003). Pernah juga dilantik sebagai salah seorang ahli jawatankuasa Penyiasat Tribunal, Lembaga Tatatertib Peguam-Peguam (1995-1996). Sejak Januari 2012 hingga sekarang beliau merupakan Penasihat (pengurusan dan pentadbiran) kepada Majlis Ulama Rohingya (MUR), sebuah badan yang mengambilpeduli tentang aspek pendidikan dan kebajikan masyarakat pelarian Rohingya di Malaysia.

Dak Ujang (TBS 1966), dikenali juga sebagai GY dalam Grup TBSST. Setelah berkhidmat lebih 25 tahun dalam sektor separa Kerajaan (USM) dan 16 tahun dalam Badan Bukan Kerajaan (NGO) di bandar Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, Dak Ujang mengambil keputusan menetap di kampong halaman isterinya di Kuala Johol. Disamping menjalankan kerja-kerja pertanian secara kecil-kecilan beliau melibatkan diri juga dalam kerja-kerja amal dan kesukarelawan.

P.C. Shivadas, dilahirkan di Tampin pada 21 Februari 1941. Selepas Perang Dunia Kedua tinggal di India selama tiga tahun. Kembali ke Tampin pada 1950 dan bersekolah di Government English School (sekarang Sekolah Rendah Tunku Besar) Tampin (1950-1954). Selepas itu meneruskan pengajian di Singapura, Batu Gajah (Perak) dan Ipoh (St. Michael Institution).Pada tahun 1963 menerima ijazah Kepujian dalam bidang Ekonomi dari Universiti Malaya dan selepas itu bertugas di The Straits Times  (sekarang New Straits Times) sebagai wartawan.Selepas bersara dari NST pada tahun 1996 dilantik sebagai ahli lembaga pengarah NSTP (1998-2006).Pada masa ini, Pengarah Golf Malaysia (Majalah) dan Kumpulan Syarikat Lejadi.Juga  salah seorang Ahli Jawatankuasa INSAf (Interfaith Spiritual Fellowship), sebuah NGO mempromosikan dialog peradaban dan persefahaman (inter-faith dialogue) serta editor kepada majalah terbitan INSAF , Dharma.

Hattar bin Othman, Mej (B), (TBS 1969) berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia selama 25 tahun dan bersara secara pilihan pada tahun 1966. Semasa dalam perkhidmatan telah berkhidmat di dalam Askar Melayu DiRaja dan setelah berkeluarga memasuki Kor Perkhidmatan DiRaja -  memegang beberapa jawatan di dalam pengendalian Logistik Tentera Darat di beberapa negeri di Semenanjung termasuk Sabah dan Serawak.Pernah juga berkhidmat di Markas Pemerintahan Lojistik Tentera Darat di Kementerian Pertahanan. Semasa dalam perkhidmatan ATM, berpeluang menghadiri beberapa kursus-kursus ketenteraan di dalam dan di luar negara.Selepas bersara,  memasuki bidang swasta di beberapa buah syarikat tempatan dan syarikat multinational dalam pelbagai kapasiti seperti Pegawai Eksekutif, Juru Odit Dalaman, dan Pengurus Besar, termasuk juga Pengarah syarikat.

Mohd Ashraf b Manzoor Hussain (TBS 1965) lahir di Lahore, Pakistan . Beliau sekeluarga dibawa berhijrah oleh bapanya dari Pakistan ke Tampin pada Julai 1957 sehinggalah menamatkan pengajian peringkat Senior Cambridge pada tahun 1965. Pada tahun berikutnya meneruskan pengajian Tingkatan Enam di Sekolah Menengah King George V, Seremban. Pada tahun 1968 melanjutkan pengajian di Universiti Malaya di bawah Biasiswa Kerajaan Negeri Sembilan. Selepas pengijazahan pada tahun 1971 bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Zaaba, Kuala Pilah. Kemudian ditukarkan ke Maktab Tentera DiRaja Sungai besi pada 1977 dan berkhidmat di situ sehingga 1986. Semasa di Maktab Tentera DiRaja Sungai Besi, Ashraf diberi tanggungjawab oleh Komandan untuk menjadi pengarang bersama (co-wrote) buku 'The History of The Royal Military College Sungai Besi'  yang diterbitkan pada 1980. Lapanbelas tahun berikutnya Ashraf memegang pelbagai jawatan bermula dari Penolong Kanan dan kemudian dilantik sebagai Pengetua di beberapa buah sekolah, bermula dari Sekolah Menengah Wangsa Melawati (Kuala Lumpur), Sekolah Menengah Ambrose (Air Tawar, Perak), Sekolah Menengah Tun Haji Abdul Malek (Melaka) dan Sekolah Menengah Taman Dato' Harun (Petaling Jaya).

Tajul Ariffin Kamat. (TBS 1969), dilahirkan pada 25 Mei 1952 dan mula bersekolah di Sekolah Rendah Kampung Sogoh. Semasa Darjah 2 berpindah ke Sekolah Rendah Tunku Besar Tampin untuk bersama abangnya yang bertugas sebagai guru di situ. Kemudian abangnya berpindah ke Seremban semasa Tajul Darjah 5 dan tinggal di Kg. Tengah, Tampin. Apabila berumur 12 tahun tinggal di Asrama TBS sehingga Form 5. Beliau mula bertugas di Jabatan Perangkaan, Kuala Lumpur dalam bulan Julai 1971. Pada 11 April 1972 bertugas di syarikat Malaysia Airlines (MAS) dan meneruskan kerjayanya disitu sehingga bersara pada Jun 2007. Semasa bertugas dengan MAS, pernah ditempatkan di Jeddah, Arab Saudi sebagai Admin/Tours Officer dari 1978 -1984. Kemudian kembali ke Kuala Lumpur dan ditempatkan di Ibu Pejabat MAS (Jabatan Jualan) sehingga Oktober 1990. Lepas itu bertugas di Kuantan sebagai Pengurus dan dianugerahkan pingat Ahli Mahkota Pahang (AMP) oleh DYMM Sultan Pahang pada 1991. Pada 1992, dihantar bertugas di Denpasar, Bali selama 4 bulan dan kembali untuk mengetuai pejabat MAS di Johor Bahru. Pada bulan Mac 1995 ditugaskan ke Chiangmai , Thailand dan pada 2001 bertugas di Phuket. Kemudian pada Julai 2004 ditukarkan ke Chennai, India sebagai Pengurus Wilayah MAS (India Selatan) sehingga bersara Jun 2007. Selepas bersara, Tajul bertugas sebagai Pengurus Pembangunan Perniagaan dengan Cempaka Corporate Travel. Pada Jun 2013 menyertai MATTA Selangor sehingga sekarang."

(Catatan: Pihak Admins Tampang sengaja tidak menyertakan gambarfoto penyumbang sehingga buku ini terbit dan dicetak. Barangkali kenkawan sudah mengenali wajah-wajah penyumbang ini melalui ruangan FB Grup TBSST atau melalui gambar ramai Blog Tampang.)

2 comments:

  1. Nampaknya kena tunggu buku siap batu dapat lihat wajah penyumbang artikelnya.

    ReplyDelete
  2. Wooow these are familiar names in Grup TBSST. I appreciate it if Tampamg Admins could include contributors' photos as well to accompany their articles. It would be more effective. At least I would like to see the latest potrait of AAB in baju Melayu.

    ReplyDelete