Sunday, 21 October 2012

ABU MAHASERI TUO DI PULAU MUTIARA

 

Gambar bersma Datok Professor Dr Shahnon Ahmad, ditengah kanan sekali Dr Shahnon ialan Abd Rahman Mohd Som, Abd Hanid Idris. sebelah kiri Dr ialah Mohd Nor Amat dan saya. Berdiri berbaju belang Cik gu Hamzah Kidam! Berbaju hitam dibelakang ialah Ustaz Mohd Ali.
 
Pada akhir tahun 1972 anak saudara saya Zainah binti Idrus, balik bercuti dari USM. Beliau cuti panjang akhir tahun itu. Entah macam mana suatu malan di meja makan, beliau meluahkan yang terbuku dihatinya, lantas ber tanya, "Pak ngah, Nah lihat kat kampus orang tua tua datang belajar, kenapa Pak ngah tak cuba mintak sambung belajar?"
"Entahlah!" Malaslah Pak Ngah nak mengadap buku lagi eh," jawab saya selamba.
Rupa rupanya soalan anak saudara saya ini banyak hikmahnya. Apa tidaknya dari soalan anak saudara yang semudah itu saya kini sedang menikmati pencen seorang pesara guru graduate. Saya juga seorang bekas guru siswazah, walaupun siswazah tua. Saya juga telah berpeluang menjadi seorang pelajar universiti, walaupun tinggal di Desa Siswa tak cukup pun setahun. Kehidupan di kampus itu banyak mengajar saya erti kehidupan. ia juga banyak mengajar saya erti kesabaran dan tak sedikit juga telah mengajar erti pengorbanan. Tak kurang juga ia mengajar saya erti bersyukur.
Di samping semua itu hidup di kampus dan pendidikan tertiari saya ini banyak mengajar saya erti kebebasan berfikir dan seterusnya membuat keputusan dan rasional sendiri. Dalam erti kata lain pendidikan universiti saya ini telah mendewasakan saya.
Alhamdulillah soalan cepumas anak saudara saya itu telah membuatkan saya terlalu teruja untuk mencuba menggunakan Sijil HSC yang separuh, Sijil Maktab Perguruan Ilmu Khas, dan Sijil Maktab Perguruan Brinsford Lodge, Birmingham, England. Memang rezeki saya ada dan nasib saya baik. Saya diterima masuk sebagai pelajar Pengajian Luar Kampus. Pengajian ini terdapat hanya di USM ketika itu.
Abu Aman dengan isteri tersayang yang banyak berkorban untuknya.Gambar ini diabadikan ketika isteri masih berpantang setelah baru dua minggu melahirkan anak bongsu.
 
Pengajian ini telah di perkenalkan oleh Allahyarham Tan Sri Professor Hamzah Sendut. Anak kelahiran Negeri Sembilan. Rumah ibu bapa beliau kurang lebih satu batu dari rumah saya di Kg Simpang, Air Mawang, Johol. Dan batch saya adalah batch kedua, Pengajian Luar Kampus. Kira tak jugalah terlewat saya menyertainya.
Kursus Luar kampus ini mewajibkan pelajarnya berkursus selama lima tahun. Pada tahun akhir pengajian palajar dimestikan duduk sebagai mahasiswa sepenuh masa di Desa Siswa, di USM. sepanjang empat tahun sebelum masuk ke kampus itu, pelajar belajar sendiri-sendiri sambil menjalankan tugas hakikinya. Pelajar dikirimkan nota-nota berkala dan tugasan (assignment) untuk dihantar kembali kepada para pensyarah yang memberi nota-nota yang berkenaan.
Demikianlah cara kami belajar selama empat tahun. Pada cuti panjang semester pensyarah pula datang ke pusat pusat luar kampus. Bagi NS dan Melaka pusatnya adalah di High School Melaka dan kadang kadang di Sekolah Menengah Gajah Berang. Interaksi pelajar dan pensyarah diadakan pada waktu malam. Maka berduyunlah kami ke Melaka kala ketibaan pensyarah kami. Untuk menguatkan lagi semangat juang dan semangat belajar kami menubuhkan kumpulan perbincangan. Kumpulan saya terdiri daripada lima orang yang mengambil kursus yang sama. Kumpulan saya terdiri daripada Cikgu Abd Hamid Idris, dari Seremban,Cikgu Hamzah Kidam dari Air Pak Abas, Chen Chew Wing dari Johol, Cikgu Dato' Long Said dari Masjid Tanah dan saya dari SMV AlorGajah.
Kami berkumpul dua minggu sekali di Sekolah Menengah Alor Gajah dan berbincang terutama apabila ada assignment untuk diselesaikan. Dalam perkara menyiapkan assignment ini saya amat banyak terhutang budi yang tidak terhingga kepada saudara saya, Cikgu Hamzah Kidam. Saban kali berjumpa beliau bertanya, " Abu assignment dah siap."
Tiap kali dia bertanya saya menjawab belum. Apa nasihatnya" Buatlah cepat tika ada masa ni dan tika badan sihat!”
“Nanti kalau tak sihat macam mana?" ujarnya menambah.
Bila sebut tentang assignment ini dialah yang paling awal siap. Cukup bersungguh- sungguh dia. Dan setiap kali assignment dikirim balik oleh pensyarah dialah yang selalu mendapat markah yang baik. Manakala sayalah yang selalu mendapat markah sampai paras hidung sahaja.
Yang paling malang bagi saya ialah keputusan assignment pertama saya iaitu assignment philosophy. Pensyarahnya telah memberi saya markah sepanar hidup. Kawan lain dalam group saya paling rendah markah D. Gelap seketika dunia saya. Begitu rendah rasanya taraf saya. Rasanya tidak layak untuk menjadi mahasiswa USM. Saya mamaklumkan kepada kengkawan yang saya mahu berhenti saja daripada meneruskan Pengajian Luar Kampus ini. Yang paling tak setuju saya menarik diri ialah Cikgu Hamzah Kidam.
" Apa pulak engkau perlu menarik diri?" nasihatnya. "Kan Dr.Na Thrang memberi peluang kedua. Tulislah assignment tu semula!"
Cikgu Abdul Hamid Idris pun turut menasihatkan saya tulis semula. Demi nasihat kedua-dua sahabat ini, saya pun tulislah semula dan hantar. Ia, cubaan yang kedua itu saya lulus dan dapat D. D pun Dlah asal tak sepanar hidup F lagi. Itulah kekuatan persahabatan kami dalam hidup saya. Itulah pun sebabnya Rasulullah SAW menyuruh kita memilih kawan yang baik. Maka teruslah saya menjadi pelajar Luar Kampus sehingga saya menggenggam segulung ijazah. Sepanjang empat tahun itu peperiksaan akhir diadakan juga, tepatnya di Sekolah Menengah Air Leleh, juga di Melaka di kaki Bukit Cina yang tepu oleh jirat.
Banyak lagi liku-liku dalam perjalanan untuk memiliki gulungan ijazah itu yang perlu saya lalui. Ada kalanya lorong penuh onak. Ada pula kalanya denai yang lunak dan redup. Namun semua ini mesti dilalui.
Lorong penoh onak dan duri ialah berjauhan dengan isteri tersayang dan anak-anak yang memerlukan belaian dan perhatian seorang ayah. Dalam hal ini isteri sayalah yang paling banyak memberi kata semangat dan penuh dorongan. Kalaulah tidak kerananya cita-cita hanya akan tinggal cita-cita belaka. Beliaulah yang tidak putus-putus mengejutkan saya dari tidur untuk belajar. Beliaulah yang menjadi penggerak utama. Dan tidak hairanlah ketika berjauhan pada tahun akhir, saya mesti balik by hook or by crook tiap-tiap bulan. Bayangkanlah kok balik tu telekung tengah berjemur. Puasa memanjanglah. Menari-nari sajalah di halaman perigi. Nak cebok airnya tak boleh. Padan muko se. Demikian ketika berjauhan.
Semasa di kampus ada beberapa peristiwa yang sukar juga dilupakan, terutama apabila terpaksa menapak untuk ke kuliah dan ke perpustakaan. Sesiapa yang telah melawat USM tahulah. Bilik kuliah dan dewan syarahan serta perpustakaan jauh dari Desa Siswa. Dahlah jauh menurun dan mendaki bukit pula tu. Hendak-hendak kalau ke perpustakaan. Ketika itu perpustakaan ialah di museum sekarang ini. Kenderaan tak ada pada tahun akhir. Saya menggunakan pengangkutan awam sahaja. Kalau naik keretapi malam dari KL atau dari Butterworth, tempat letak barang dalam koclah menjadi katil empuknya sepanjang malam itu.
Satu lagi peristiwa tahun tujuhpuluhan itu ialah tentang telefon. Masa itu telefon hp masih belum popular lagi. Boleh jai belum dicipta pun. Kalau nak telefon rumah untuk bertanyakan khabar dan melepaskan rindu kenalah gunakan telefon awam berbayar. Dahlah telefon tu berada jauh dari Desa Siswa saya kena berjalan tercungap-cungap untuk mendapatkannya. Saya juga tak begitu mahir menggunakannya. Pernah jantung ni bedegup kuat menantikan ok dari operator untuk bercakap dengan orang di rumah. Erketar-ketar, takut duit yang dimasukkan kok ditelannya. Buat panggilan jauh kena melalui telefonis. Itulah pengalaman kelat duduk di Desa Siswa.
Pernah satu ketika saya dipanggil oleh seorang pensyarah sejarah Thailand saya. Saya mula tertanya-tanya. Apa pula salah laku yang telah saya buat? Saya rasa tak ada apa-apa. Kuliah tak pernah ponteng. Assignment tak pernah tak hantar, dan tak pernah pun lewat. Tiba masa temujanji ditetapkan dan dDengan hati berdebar-debar, saya mengetuk pintu pejabatnya. Saya dipersilakan masuk dan duduk di hadapannya.
Dia fasih berbahasa Melayu. Dia menyoal saya, “Awak berpendidikan Inggeris ke?”
Saya jawab, “ Ya dan saya pernah mengikuti kursus perguruan di Brinsford Lodge, Wolverhampton, England.”
Dia tersenyum mendengar jawapan saya. Dia tak percaya bahawa assignment yang terbentang di hadapannya adalah usaha saya, kerana saya menulisnya dalam bahasa Inggeris. Sebelum ini saya tulis dalam bahasa Melayu sahaja. Setelah berpuas hati dengan jawapan saya itu, pensyarah itu memulangkan essay saya. Kemudian saya pun meninggalkan pejabatnya setelah berterima kasih kepadanya,
Satu hari ketika saya di kantin Sekolah Pengajian Kmasyarakatan, saya bertemu dengan seorang bekas murid saya waktu mengajar sementara di TBS dulu, iitu Encik Ariffin Omar. Dia budak sekitar Pekan Kota. Dia pensyarah di sekolah Pengajian kemasyarakatan di USM. Apa yang mebuatkan saya teringat-ingat peristiwa itu ialah dia menghebahkan kepada kawan pensyarahnya bahawa saya adalah bekas cikgunya, yang pernah mengajarnya di Tingkatan Satu.
" Hey, this was my cikgu, when i was in Form One!" katanya sambil menunjukkan saya kepada kawan- kawan nya yang sedang menikmati makanan dan minuman ketika break.
Sepanjang empat tahun berulang- alik ke Pulau Pinang, tiap-tiap bulan duabelas kami akan tinggal di Desa Siswa selama tiga minggu untuk menghadiri kuliah. Pada masa-masa lapang dan tiada kuliah saya dan geng, terdiri daripada Cikgu Abd Hamid Idris, Cikgu Hamzah Kidam, Cikgu Abd Rahman Mohd Som dan Cikgu Dato' Long Said sering pergi ke Batu Feringgi untuk merehatkan fikiran sambil menengok mat saleh mandi-manda. Ada juga sesekali kami pergi menonton bf dan ts, di tempat tempat sulit di ceruk-ceruk Pulau Mutiara itu. Demikianlah nakalnya “mahaseritua”. Moga Allah yang maha pengampun lagi maha pengasih dan maha penyayang mengampunkan dosa-dosa kami, dosa kedua-dua ibu bapa kami dan dosa-dosa isteri kami yang begitu percaya melepaskan kami untuk pergi menuntut ilmu di USM, di Pulau Mutiara; yang penuh dengan mutiara- mutiara berharga dan juga kelongsong- kelongsong siput yang tak berguna. nukilan aab 1259 cuti Hari Malaysia 17092012

No comments:

Post a Comment