Tuesday 23 October 2012

HARI-HARI TERAKHIR BERSAMA TONGKAT WARANT

 
SN Datuk Usman Awang @ Tongkat Warant Ketua saya semasa bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka mulai tahun 1972.



 
Warkah Usman Awang kepada AFY tahun 1978.

 
Disember 2001
Tepat 12.35 pagi Khamis lalu, Datuk Usman Awang meninggalkan kita. Allahyarham kembali menemui Penciptanya setelah “uzur” hampir dua dekad. Punca kepergiannya seperti yang diumumkan doktor ialah sakit jantung atau dalam bahasa klinikalnya, “congestive heart failure with chronic renal failure.” Pergi sudah seorang yang saya peribadi anggap “mahaguru” dalam bidang kewartawanan dan kesusasteraan. Saya,  Allahyarham A. Karim Abdullah, Maarof Saad banyak belajar daripadanya. Allahyarham anak Sedili, Kota Tinggi berusia 72 tahun. 
 
 Allahyarham amat sensitif dengan kehidupan dan kemanusiaan. Jiwa seninya barangkali yang menjadikannya begitu. Dan ini tercermin dalam semua karyanya yang manusiawi sifatnya, malah hasil karyanya mendobrak sempadan politik dan geografi. Pencerminan sensitivitinya itu turut dapat dilihat dalam banyak warkah, perutusan dan tutur katanya baik yang rasmi mahupun yang tidak. Kerana sesnitiviti dan kemanusiaannya itulah Allahyarham saya anggap tempat saya, sebagai anak didiknya dalam bidang kewartawanan dan kesusasteraan meluahkan rasa hati.
 
Pernah saya tulis surat kepada Allahyarham dari Bandung pada tahun 1978. Tulis saya, “saudara adalah bapa penasihat buat saya selama ini, maka ada baiknya saya meluahkan perasaan saya ini. Barangkali setelah mengungkapkannya saya akan kembali  tenang dan paling tidak malam nanti saya akan tidur lena.”

Beginilah selalunya saya berkomunikasi dengan Allahyarham, baik yang ada kaitannya dengan masalah  kerja atau pun masalah peribadi. Allahyarham memberikan masanya untuk menjadi “pendengar setia.” Misalnya, satu petang lama setelah waktu pejabat Allahyarham memanggil saya ke bilik pejabatnya di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Allahyarham bertanya apakah saya sedang menghadapi masalah.
 
Katanya, “You kelihatan tidak tenang dan apa yang you tulis untuk ruangan Pita Sastera, majalah Dewan Sastera bulan ini tidak bagus.”  Allahyarham menunjukkan skrip yang masih belum dihantar ke percetakan. 

 Lalu Allahyarham bercerita tentang seorang panarik beca.
Katanya “Kita mungkin tidak tahu setiap kali penarik beca itu mengayuh basikalnya, dia sebenarnya sedang memikirkan masalahnya juga. Apakah dapurnya akan berasap petang itu atau apakah dia sudah membeli buku anak-anaknya. Segala macam masalah. Tapi dia terus bekerja, mengayuh becanya. Kerana itulah periuk nasinya.”
 
Kira-kira begitulah kata-katanya dan Allahyarham menyerahkan kepada saya untuk mencari iktibar daripada cerita tentang penarik becanya itu. Dan sebelum saya minta diri Allahyarham mengembalikan skrip yang saya tulis untuk Ruangan Pita Sastera majalah Dewan Sastera bulan itu sambil berkata, "You baiki semula dan fikirkan yang terbaik. Saya tahu you boleh." Saya melihat jam di tangan. telah hampir 6.00 petang. (Dipetik dari Diari lama dan pertama kali disiarkan dalam blog Alumni TBSST pada 16 Oktober 2012).

8 comments:
  1. Surat Usman Awang kepada AFY yang disertakan tak begitu terang, tak dapat I baco. Kalau boleh elok ditulis somulo untuk momudahkan oghang membaconya. Kandungannya taklah panjang sangat kot.
    Reply
  2. AFY, you seem to have a very close relationship with the late SN Usman Awang. It will be quite interesting if you could relate your close link with the late national laureate. It is quite an important event as far as working relationship is concerned. And it's more than just that.
    Reply
  3. Memang ghapat. Masih ese ingat ese sampaikan dimintak uruskan pombayaran bil air dan api ghumah eh sotiap bulan. Hampir sotiap hujung minggu ese adolah di ghumahnya kek Kg. Tunku, PJ samo ado bual-bual sajo atau kito poi lunch kek Section 14 makan nasi dalam daun pisang.

    Kadang-kadang kito poi bermalam kek PD. Kogomaran UA ini gulai ikan sombilang laut yang dimasak asam podeh. Kalau ese balik Johor dio akan posan kek montua ese supayo masakkan asam podeh tu dan ese bawak balik ko Kg Tunku ghumah dio. Di ghumah eh, kito makan ghamai-ghamai termasuklah Allahyarham Kak Hasnah, isteri UA. Dan yang tak dapek ese lupoan ialah UA atau Tongkat Warant ini tak lokang dongan rokok kretek dan kopi hitam pahitnya. Dan satu gelas air putih. Dio jarang makan tongah hari.

    Bilo ese pindah kojo ko Fajar Bakti, Allahyarham mintak pula Sutong Umar RS monggantikan tompek ese untuk menguruskan bayaran Bil Air, Api dll. Sobolum ese, ado kawan kito Pak Awam il-Sarkam (Wahab Mohammad) salah soghang pongasas Angkatan Sasterawan 1950an (ASAS 50) yang nguruskan bil-bilnya ini. Bogitulah ghapat eh kito oghang dongan UA ini.
    Reply
  4. I called him "Cisman" and sometimes just "Tongkat". He seldom took his lunch but maintained heavy dinner. His two inner-circled friends were Dr. Rajkumar and Dr. Syed Husin Ali. His immediate boss when he was in DBP was (Kamaluddin Muhamad (Keris Mas) and Keris Mas Deputy, Dato' M. Noor Azam.We the subordinates called the three of them "Dol Keropok". We have been cordial all along in the Magazine's Division, in a bigger room. There were six of us then, in that bigger room. Kemala and Shamsuddin Jaafar (Dewan Sastera), Karim Abdullah and Awam il-Sarkam (Dewan Masyarakat), Dharmawijaya (Dewan Pelajar) and me handling Kegiatan Sastera. I took over Awam Il-Sarkam's place when he retired. In the other room, there were two other officers, Abdullah Hussein in-charge of Dewan Bahasa Journal and Saleh Daud, editor of Dewan Pelajar.
    Reply
  5. Dari seorang mato-mato ko Sasterawan Negara. Berpendidikan Darjah V Sekolah Melayu. We can just imagine!
    Reply
  6. Sifat dan sikap manusiawinya itu yang menawan hati. Karyanya tak jemu dibaca. Ini adalah kurniaan Illahi kepada hambaNya yang tak pernah berkesompatan menjamah pendidikan tinggi. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Amin..
    Reply
  7. Yang kami faham Allahyarham bersikap pragmatis dalam hidup dan jiwanya tidak mengenal batas sempadan politik. Tidak seperti seorang lagi SN, iaitu Datuk A. Samas Said yang sejak akhir-akhir ini condong untuk bersikap meresahkan kaum penulis.
 

No comments:

Post a Comment